vivo OriginOS 7: Era baru telefon pintar dengan multitasking dan AI lebih pintar

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2026 – Telefon pintar hari ini bukan lagi sekadar alat untuk membuat panggilan, menghantar mesej atau melayari media sosial. Ia menjadi tempat menyimpan idea, mengurus tugasan kerja, merakam kenangan, berhubung dengan pelbagai peranti dan semakin banyak digunakan untuk mendapatkan bantuan daripada kecerdasan buatan.

Melihat kepada perubahan cara pengguna berinteraksi dengan teknologi, vivo memperkenalkan OriginOS 7 dengan pendekatan yang lebih menyeluruh, menjadikan telefon pintar bukan sahaja lebih lancar digunakan, tetapi turut berupaya menghubungkan tugasan, peranti dan pengalaman digital dalam satu ekosistem.

Diperkenalkan di Shanghai, OriginOS 7 memberi tumpuan kepada tiga perkara utama yang semakin penting dalam kehidupan digital pengguna hari ini – kelancaran ketika melakukan banyak tugasan, kesinambungan antara peranti serta bantuan AI yang lebih praktikal melalui Jovi.

Bukan Sekadar Lancar, Tetapi Direka Untuk Kekal Lancar

Antara cabaran telefon pintar apabila digunakan untuk tempoh panjang ialah prestasi yang boleh berubah selepas bertahun-tahun digunakan. Justeru, vivo memberi perhatian khusus kepada aspek ketahanan prestasi dalam pembangunan OriginOS 7.

Sistem operasi ini hadir dengan Origin Smooth Engine generasi baharu yang merangkumi pengurusan grafik, memori dan penjadualan sistem. Melalui Ultra-Core Computing, sumber pemprosesan boleh diagihkan mengikut keperluan, khususnya ketika pengguna melakukan tugasan berat seperti bermain permainan, mengendalikan beberapa aplikasi serentak atau menonton video dalam tempoh yang panjang.

Menurut vivo, pendekatan ini membantu mengurangkan masa pembukaan aplikasi sebanyak 10 peratus serta meningkatkan kelancaran pertukaran halaman aplikasi sebanyak 11 peratus.

Pada masa sama, Memory Fusion direka untuk mengoptimumkan pengurusan memori dan ruang storan. Teknologi berkenaan dikatakan mampu meningkatkan kecekapan pengembalian memori sehingga 60 peratus dan membebaskan sehingga 25GB storan tambahan pada peranti dengan kapasiti 256GB.

Menariknya, vivo turut menjalankan ujian anti-penuaan selama 72 bulan dalam makmalnya bagi menguji ketahanan pengalaman penggunaan sistem selepas tempoh penggunaan yang panjang.

Ini bermakna tumpuan OriginOS 7 bukan hanya kepada bagaimana telefon berfungsi ketika baru dikeluarkan daripada kotak, tetapi bagaimana pengalaman tersebut boleh dikekalkan sepanjang tempoh penggunaannya.

Lima Aplikasi Dalam Satu Ruang Kerja

Dalam dunia kerja yang semakin bergantung kepada telefon pintar, berpindah antara aplikasi boleh menjadi gangguan kecil yang akhirnya memakan masa. OriginOS 7 cuba menangani perkara itu menerusi Origin Workbench.

Ciri ini membolehkan sehingga lima aplikasi aktif diselaraskan dalam satu ruang tugasan pada telefon pintar. Sebagai contoh, pengguna boleh mengeksport video beresolusi tinggi sambil merujuk nota, mencari bahan inspirasi dan berbual dalam masa yang sama.

Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana telefon pintar semakin menghampiri peranan komputer mudah alih, terutama bagi pengguna yang banyak bergantung kepada peranti mereka untuk tugasan kreatif dan produktiviti.

Pengalaman itu turut disokong Origin Animation yang menggunakan prinsip pergerakan lebih semula jadi ketika pengguna menatal, mengetik atau bertukar antara halaman. Elemen seperti Fluid Motion dan Spring Animation direka untuk menjadikan pergerakan pada skrin terasa lebih responsif dan organik.

Telefon Pintar Yang Tidak Lagi Terasing

Satu lagi perubahan besar dalam OriginOS 7 ialah cara vivo melihat hubungan antara telefon dengan peranti lain.

Daripada menganggap telefon pintar sebagai sebuah peranti yang berdiri sendiri, OriginOS 7 cuba menjadikannya sebahagian daripada ekosistem digital yang lebih luas, termasuk peranti daripada platform berbeza.

Pengguna Apple Watch boleh menerima notifikasi serta menyegerakkan data kecergasan dan kesihatan ke aplikasi Origin Health, manakala AirPods pula boleh disambungkan dengan paparan maklumat bateri melalui Origin Island selain menyokong Spatial Audio.

Menerusi vivo Office Kit, pengguna iPad, Mac dan Windows juga boleh melakukan beberapa tugasan merentasi peranti, termasuk menyegerakkan nota, memindahkan fail dan meneruskan kerja antara skrin.

Bagi pengguna yang menyimpan foto dan fail di iCloud, OriginOS 7 turut menyediakan akses terus melalui vivo File Manager untuk menyemak, memuat naik dan memuat turun kandungan tanpa perlu keluar daripada sistem.

Jovi Jadikan AI Lebih Praktikal

Jika kecerdasan buatan sebelum ini banyak dikaitkan dengan menjawab soalan atau menghasilkan kandungan, OriginOS 7 membawa pendekatan yang lebih berorientasikan tugasan melalui Jovi.

Jovi diperkenalkan sebagai ejen AI peribadi merentas peranti yang boleh membantu mengurus tugasan antara telefon dan komputer.

Sebagai contoh, pengguna boleh memberikan satu arahan untuk mendapatkan fail spreadsheet daripada komputer di rumah, membuat ringkasan angka penting dan menghantar hasil ringkasan tersebut ke telefon.

Jovi juga boleh digunakan untuk tugasan yang dijadualkan, termasuk menyediakan laporan mingguan atau mengurus fail pada masa tertentu.

Bagi tugasan yang lebih mudah, Snap Note pula menggunakan pengecaman struktur untuk menukar gambar papan putih, nota tulisan tangan atau slaid pembentangan kepada dokumen teks berformat yang boleh diedit.

Pada masa sama, vivo memberi penekanan terhadap aspek kawalan pengguna. Melalui Jovi Security, tindakan autonomi yang dilakukan oleh ejen direkodkan secara telus, manakala langkah tertentu memerlukan kebenaran pengguna.

Teknologi Yang Boleh Ikut Personaliti Pengguna

Selain prestasi dan produktiviti, OriginOS 7 turut memberi ruang yang lebih besar kepada pengguna untuk menjadikan telefon mereka lebih peribadi.

Wiggle Theme mengubah gambar peribadi menjadi permukaan interaktif yang memberikan kesan seolah-olah cecair apabila disentuh. Glint Theme pula menggunakan sensor giroskop untuk menghasilkan kesan cahaya dan bayang berdasarkan pergerakan telefon.

Melalui StickIt, pengguna boleh menghasilkan kolaj berlapis menggunakan foto dan Live Photos pada skrin kunci, skrin utama serta Always-On Display.

Sementara itu, Pet Pals membawa elemen teman digital interaktif yang boleh bertindak balas terhadap pergerakan peranti, status pengecasan, muzik yang dimainkan dan perubahan waktu siang kepada malam.

Kesemua ciri ini menunjukkan bahawa personalisasi dalam sistem operasi tidak lagi terhad kepada menukar wallpaper atau ikon semata-mata, sebaliknya semakin berkembang kepada pengalaman visual dan interaktif yang berubah mengikut cara pengguna berinteraksi dengan peranti.

X500 Series Jadi Permulaan Di Malaysia

Di Malaysia, X500 Series akan menjadi barisan pertama vivo yang hadir dengan OriginOS 7 sebelum kemas kini itu diperluaskan kepada model X Series lain, diikuti V Series dan Y Series.

Ketersediaan ciri mungkin berbeza mengikut model dan pasaran.

Dengan OriginOS 7, vivo mengambil pendekatan bahawa pengalaman telefon pintar moden bukan hanya tentang berapa pantas sebuah peranti membuka aplikasi, tetapi bagaimana teknologi dapat mengurangkan geseran kecil dalam kehidupan digital – daripada bertukar antara aplikasi, meneruskan kerja pada peranti lain, mengurus fail hinggalah mendapatkan bantuan AI.

Dalam dunia di mana semakin banyak tugasan berlaku di skrin kecil yang berada di tangan setiap hari, kelancaran bukan lagi sekadar soal prestasi. Ia tentang menjadikan teknologi terasa lebih dekat, lebih fleksibel dan lebih bersedia mengikut cara manusia bekerja, berhubung dan menjalani kehidupan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat