KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyokong usaha Kerajaan Negeri Pahang menangani penerokaan tanpa kebenaran yang dilaporkan melibatkan kawasan seluas lebih 2,212 hektar di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan sejak September itu mencerminkan komitmen bersama kerajaan negeri dan Persekutuan untuk melindungi khazanah hutan negara.
“Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007, manakala Tasek Bera diiktiraf sebagai Tapak Ramsar sejak 1994 kerana kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi tanah lembapnya di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arthur, sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani berlandaskan undang-undang bagi mengelakkan kesan terhadap ekosistem serta habitat hidupan liar.
Beliau berkata, NRES menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri Pahang dalam pengurusan HSK. Pada masa sama, kementerian akan terus menyelaras kerjasama di peringkat Persekutuan, termasuk melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Kerjasama itu meliputi penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan dan usaha memulihara kawasan hutan yang terjejas.
“NRES kekal komited memastikan khazanah hutan dan biodiversiti negara dipelihara secara mampan, di samping menjaga kepentingan serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.



