KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang sekarang ada pilihan untuk membayar tol iaitu dengan sistem JustGO yang menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bermula bulan ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan JustGO di jambatan berkenaan adalah satu langkah pendigitalan sistem pengangkutan dan bayaran tol di negara ini.
Dengan sistem itu, pengguna telah mendaftar nombor plat dan mereka hanya perlu memandu melalui plaza tol tanpa perlu memilih lorong mengikut cara pembayaran pilihan mereka.
“Teknologi ANPR akan mengesan nombor pendaftaran kenderaan manakala transaksi tol pula akan diproses secara automatik menggunakan kad pembayaran yang telah dipautkan dalam aplikasi JustGO.
“Konsep LaneFreedom yang diperkenalkan JustGO juga membolehkan pengguna menggunakan mana-mana lorong tol yang tersedia di Jambatan Pulau Pinang,” katanya.
Bagi pengguna yang lahir dan menetap di Pulau Pinang yang berdaftar dengan JustGO, mereka berpeluang mendapat diskaun sehingga 20 peratus bagi perjalanan melalui jambatan tersebut.
“Bagaimanapun, bagi pengguna Plaza Tol Bandar Cassia (Jambatan Kedua) pula, kemudahan JustGO buat masa ini hanya disediakan di lorong RFID yang ditandakan dengan bulatan merah sahaja,” kata Zairil.
Beliau berkata teknologi ANPR akan membantu melancarkan aliran trafik di plaza tol Jambatan Pulau Pinang selain akan mengurangkan keperluan menggunakan kaedah pembayaran fizikal.



