KUALA LUMPUR – Jika benar Pulau Pinang menerima lebih RM21 bilion dalam bentuk projek pengangkutan sepanjang tempoh Loke menjadi Menteri Pengangkutan, maka rakyat juga berhak mengetahui berapa jumlah yang diterima oleh 13 negeri lain di Malaysia dan apakah asas keutamaan tersebut.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Mike Chong Yew Chuan berkata, hantaran Facebook Penasihat DAP Lim Guan Eng yang menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas sumbangan besar beliau dalam sistem pengangkutan di Pulau Pinang menimbulkan pelbagai persoalan dan mengundang persepsi dikalangan orang ramai.
“Dalam hantaran tersebut, Guan Eng menyenaraikan beberapa projek berkaitan pengangkutan di negeri yang ditadbir oleh Ketua Menteri dari parti DAP itu sehingga mencecah RM21 bilion. Ini termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) bernilai RM16.8 bilion, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebanyak RM1.55 bilion, RM30 juta bagi stesen-stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), RM2.2 bilion bagi Pelabuhan Pulau Pinang serta RM500 juta bagi Swettenham Pier.
“Pemuda MCA tidak mempertikai atau menafikan keperluan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan di Pulau Pinang. Namun, angka lebih RM21 bilion yang disebutkan seolah-olah menggambarkan ia merupakan hasil pencapaian peribadi seorang Menteri,” katanya.
Justeru kata Mike Chong, Pemuda MCA juga ingin mengajukan beberapa soalan kepada Anthony yang memerlukan penjelasan telus iaitu, berapakah jumlah peruntukan dan nilai projek pengangkutan yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi setiap negeri sepanjang tempoh 2022 – 2026 semasa pemerintahan Pakatan Harapan?
“Apakah projek pengangkutan utama yang telah diluluskan di setiap negeri? Berapakah nilai projek dan status pelaksanaannya?
“Seterusnya, mengapakah Pulau Pinang dilihat diberikan ‘tumpuan’ lebih sehingga projek yang disenaraikan mencecah lebih RM21 bilion? Apakah kriteria yang digunakan Kerajaan Persekutuan dalam menentukan keutamaan peruntukan antara negeri?
“Adakah angka RM21 bilion tersebut merujuk kepada wang yang telah dibelanjakan, siling kos yang diluluskan, atau sekadar nilai keseluruhan projek yang mendapat kelulusan dasar?soal beliau.
Menurut Mike Chong lagi, rakyat berhak mengetahui perbezaan antara nilai projek, siling kos, peruntukan sebenar dan jumlah yang telah dibelanjakan.
“Pembangunan infrastruktur menggunakan sumber negara perlu dilihat daripada perspektif keperluan dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia, bukan semata-mata dijadikan ukuran pencapaian seorang menteri atau kelebihan sesebuah negeri yang ditadbir oleh sesebuah parti politik.
“Jika benar Pulau Pinang menerima lebih RM21 bilion dalam bentuk projek pengangkutan sepanjang tempoh Loke menjadi Menteri Pengangkutan, maka rakyat juga berhak mengetahui berapa jumlah yang diterima oleh 13 negeri lain di Malaysia dan apakah asas keutamaan tersebut,” katanya.



