KUALA LUMPUR – Apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.
Namun kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, Anthony Loke sudah mengumumkan mahu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan. Tetapi selepas pengumuman itu, beliau masih meneruskan lawatan rasmi ke China, menghadiri mesyuarat peringkat menteri dan terlibat dalam pemeteraian MoU.
Jelasnya, dari sudut undang- undang, selagi peletakan jawatan belum berkuat kuasa beliau memang masih menteri. Tetapi dari sudut tatakelola, keadaan ini memang mengundang persoalan.
“Kalau benar mahu berundur atas prinsip, buatlah dengan kemas. Serahkan urusan besar kepada pengganti dan pastikan peralihan berjalan teratur. Jangan pengumuman politik sudah sampai ke pintu keluar, tetapi kuasa menteri masih sibuk berjalan ke sana sini. Kalau begitu, rakyat memang susah hendak membezakan antara peletakan jawatan dengan sekadar pengumuman peletakan jawatan.
“Mungkin selepas ini kita perlu memahami bahawa perkataan ‘resign’ dalam politik mempunyai maksud yang agak fleksibel. Umum hendak berhenti dahulu, teruskan lawatan rasmi, bermesyuarat, tandatangan MoU, selesaikan jadual, kemudian balik baru urus soal berhenti.
“Rajin memang rajin. Cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci.
“Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati hati. Kalau tidak mendesak, apa salahnya diserahkan kepada pengganti? soal Fadhli.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, memang Loke belum menjadi ‘caretaker minister’ dalam pengertian undang undang. Tetapi dari sudut tatakelola, semangatnya patut hampir sama, iaitu lebih berhati hati menggunakan kuasa selepas mengumumkan mahu berundur.
“Lagi besar sesuatu keputusan atau komitmen, lagi tinggi tahap berhati hati yang sepatutnya diamalkan.
“Apa yang nampak pelik sekarang ialah pengumuman hendak berhenti sudah dibuat, tetapi jadual sebagai menteri berjalan seperti biasa. Mesyuarat jalan, pertemuan dua hala jalan, MoU pun jalan.
“Kemudian selepas selesai semuanya, barulah hendak menguruskan soal peletakan jawatan. Jadi bila sebenarnya proses ‘berhenti’ itu bermula?
“Saya faham Anthony Loke ini seorang yang rajin. Kalau tidak rajin, masakan Lim Guan Eng sendiri memuji beliau kerana bertanggungjawab mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion untuk Pulau Pinang sepanjang menjadi Menteri Pengangkutan. Angka itu termasuk LRT RM16.8 bilion, pembesaran lapangan terbang RM1.55 bilion, Pelabuhan Pulau Pinang RM2.2 bilion dan beberapa projek lain.
“RM21 bilion untuk Pulau Pinang sahaja memang angka yang besar. Kalau satu negeri boleh menerima projek pengangkutan sebanyak itu, tentu menarik juga kalau Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka mengikut negeri supaya rakyat boleh membuat perbandingan yang adil. Pulau Pinang bukannya terlalu berbeza daripada negeri negeri lain, kecuali satu perkara yang sangat mudah dilihat: kerajaan negerinya diterajui DAP.
“Sebab itu ketelusan angka mengikut negeri penting supaya tidak timbul persoalan sama ada ‘kerajinan’ seorang menteri turut mempunyai sempadan politik,” bidas Fadhli.



