TVET terus diperkukuh menerusi POLYCC IEC 2026, pengiktirafan pusat kecemerlangan COT bermula di POLIMAS

Oleh Zihan Zari

JITRA – Hubungan strategik antara institusi pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sektor industri negara terus diperkukuh menerusi penganjuran POLYCC Industry Education Centre (IEC) 2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), dekat sini baru-baru ini.

Majlis perasmian program berimpak tinggi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ulaimi Yahya, mewakili Ketua Pengarah JPPKK.

Ulaimi berkata, POLYCC IEC 2026 merupakan wadah kritikal untuk menilai semula keberkesanan hubungan institusi dengan industri serta memacu agenda pengantarabangsaan TVET negara agar kekal relevan dengan cabaran ekonomi global masa kini.

“Sinergi antara POLYCC dan pemain industri tidak boleh lagi bersifat konvensional. Kita perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi industri moden.

“JPPKK sentiasa komited memastikan kurikulum dan latihan yang ditawarkan di politeknik serta kolej komuniti mampu melahirkan modal insan digital yang kalis masa hadapan (future-proof) demi mendepani pasaran kerja yang semakin dinamik,”katanya.

Katanya lagi, pengiktirafan yang diberikan pada hari ini mencerminkan kesungguhan warga pendidik dan rakan industri dalam meruntuhkan tembok pemisah antara teori akademik dan realiti praktikal di lapangan kerja.

POLIMAS Sedia Galas Tanggungjawab Sebagai Hab TVET Premier

Terdahulu, Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria menzahirkan rasa bangga dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada POLIMAS untuk menjadi tuan rumah bagi edisi POLYCC IEC tahun ini.

Beliau menegaskan komitmen tinggi warga POLIMAS dalam mendukung aspirasi TVET Madani, khususnya selepas pengiktirafan institusi tersebut sebagai Politeknik Premier.

“Sebagai tuan rumah, kami di POLIMAS melihat penganjuran POLYCC IEC 2026 ini bukan sekadar satu majlis pertemuan, tetapi merupakan satu lonjakan penting dalam membina ekosistem TVET yang dinamik. Kebersamaan antara institusi dan rakan industri pada hari ini adalah kunci utama untuk menterjemahkan inovasi kepada impak ekonomi yang nyata,”ujarnya.

Pengiktirafan Bintang Pusat Kecemerlangan
Center of Technology (COT)

Kemuncak acara menyaksikan penganugerahan penarafan bintang kepada COT Politeknik seluruh Malaysia. Pengiktirafan bertaraf 1, 2 dan dan 3 bintang diberikan sebagai menghargai pencapaian cemerlang serta sumbangan pusat-pusat kecemerlangan ini sepanjang tahun 2025.

Sistem penarafan COT ini berfungsi mengiktiraf pusat kecemerlangan dalam bidang tujahan masing-masing yang terbukti memberikan impak nyata serta manfaat besar kepada komuniti setempat dan sektor industri negara.

Tempat pertama anugerah utama keseluruhan berjaya dirangkul oleh Politeknik Ungku Omar (PUO) bagi Anugerah Best Overall 3 Star Rating, Award Diamond, Center Of Tecnology Marine Engineering.

Award Sapphire Centre for Medical Electronic Technology pula milik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA). Manakala Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) pula menerima Award Emerald, Polytechnic Centre of Automotive and Manufacturing, atas pencapaian luar biasa mereka sepanjang tahun lalu dalam memacu inovasi bersama pihak industri.

POLIMAS sebagai tuan rumah turut melakar kejayaan membanggakan apabila meraih beberapa pengiktirafan dalam program tersebut.

Centre of Technology Town and Regional Planning (CToP) pula mencatat kejayaan menerusi Anugerah Pengurus Terbaik COT 2 Star Rating yang diberikan kepada Azzatunisa Ahmad ZubIr. POLIMAS turut dinobatkan sebagai Pempamer Terbaik.

Dalam pada itu, Centre for Mechanical Engineering Plastic (CMeP) turut mencatat pencapaian menerusi Penarafan 2 Star Rating, sekali gus memperlihatkan komitmen POLIMAS dalam memperkukuh kecemerlangan COT serta memperkasa bidang tujahan yang memberi nilai tambah kepada industri dan komuniti.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1.30 tengah hari itu telah menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi JPPKK, para pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta wakil-wakil industri utama negara, sekali gus mencerminkan komitmen kukuh dalam memperkasa ekosistem TVET negara. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat