DUNGUN – Awal pagi tadi, kira-kira pukul 2 pagi seekor Penyu Belimbing mendarat sekali lagi di Pantai Kuala Abang, Dungun, Terengganu untuk bertelur kali ketiga tahun ini selepas kembali semua selepas sembilan tahun menghilang.
Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu dalam satu hantaran di Facebook hari ini memperincikan setiapo butiran pendaratan penyu itu yang melibatkan spesies penyu terbesar di dunia dan digelar Raja Penyu.
Kakitangan Pejabat DOF Negeri Terengganu Mohd Saipulmizam Hamzah dan Pemajak Telur Kawasan Rantau Abang (Zon B) Mohd Salleh berada di pantai melihat jejak penyu dan menyaksikan penyu bertelur sebelum kemudiannya kembali ke laut pada kira-kira pukul 5.30 pagi.
Menurut kenyataan itu, ukuran penyu betina berkenaan ialah 215 sentimeter panjang dan 115 sentimeter lebar dan ia bertelur kira-kira 70 biji.
“Keseluruhan telur telah dipindahkan dan ditanam di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang untuk proses pengeraman,” katanya.
DOF Negeri Terengganu berkata ibu penyu pagi tadi berkemungkinan ibu penyu yang sama yang mendarat pada 1 dan 13 September lepas.
“Kemungkinan juga, ini bukanlah pendaratan terakhir bagi sang penyu keraan seekor ibu penyu boleh melepaskan telur sebanyak 5 kali sepanjang proses bertelur,” katanya.



