Jurang kekayaan perlu dirapatkan demi kestabilan ekonomi ASEAN – Tengku Zafrul

SINGAPURA – Jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin perlu dirapatkan bukan sahaja atas pertimbangan keadilan sosial, malah bagi memastikan kestabilan ekonomi dan politik serantau.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketidakseimbangan kekayaan yang semakin melebar boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi sesebuah negara, sekali gus menjadi antara faktor yang dipertimbangkan pelabur sebelum membuat keputusan pelaburan.

“Pertumbuhan ekonomi mesti memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

“Pelaburan yang masuk bukan sekadar perlu mencipta keuntungan, tetapi juga pekerjaan yang lebih baik, pendapatan lebih tinggi, peluang meningkatkan kemahiran dan ruang untuk syarikat tempatan berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Beyond Profit: Closing the Wealth Gap as ASEAN and China’s Greatest Competitive Advantage” pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan China-ASEAN 2026 di sini, Isnin.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN berada pada kedudukan strategik antara Timur dengan Barat, selain mempunyai pasaran pengguna yang besar, sumber yang banyak, ekonomi digital yang berkembang dan kumpulan bakat yang pelbagai.

ASEAN dilaporkan menerima pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah AS$226 bilion pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan pada 2015.

Bagaimanapun, katanya, persoalan utama bukan hanya mengenai jumlah pelaburan yang diterima, tetapi manfaat sebenar yang dibawa pelaburan tersebut kepada rakyat.

Menurut beliau, pembangunan sektor pembuatan dan perindustrian kekal penting kepada rantau ini kerana kesannya turut meliputi pembekal, logistik, perkhidmatan profesional, teknologi, tenaga dan pembangunan kemahiran.

Pelaburan yang dilaksanakan dengan baik, katanya, sepatutnya meninggalkan pengetahuan dan kepakaran, melahirkan syarikat lebih kukuh serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.

Prinsip sama perlu menjadi panduan dalam menentukan fasa pembangunan dan integrasi ekonomi ASEAN seterusnya.

Tengku Zafrul turut berpandangan prinsip yang mendasari Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia boleh dijadikan antara rujukan bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

NIMP 2030 yang dilancarkan pada 2023 menjadi antara tonggak perindustrian dalam kerangka Ekonomi MADANI dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kerumitan ekonomi, penerapan teknologi, pelepasan karbon sifar bersih, keselamatan ekonomi dan pembangunan inklusif.

Beliau berkata ASEAN dan China mempunyai modal, bakat serta keupayaan besar untuk berkembang bersama, tetapi pertumbuhan itu perlu memberikan hasil kepada rakyat yang membantu menjayakannya.

“Ekonomi serantau yang lebih kukuh juga akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat dan syarikat untuk membina kekayaan,” katanya.

Sidang kemuncak tersebut berlangsung di Swissôtel The Stamford dan dianjurkan CGS International Securities dengan kerjasama SGX Group serta China Enterprises Association, manakala UOB bertindak sebagai rakan perbankan strategik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat