SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan dikatakan telah memohon Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyembah maklum kepada Raja-Raja Melayu berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Sumber memberitahu SuaraTV, permohonan itu dibuat menerusi sepucuk surat sulit bertarikh 17 September 2026 yang dialamatkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Salinan surat dua halaman yang dilihat Suara.TV itu turut dipanjangkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Haji Jaba Mohd Noah.
Menurut surat berkenaan, Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), bertarikh 19 April 2026, telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah.
Surat itu menyatakan bahawa kuasa memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan prerogatif Undang Yang Empat menurut Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar turut mengesahkan bahawa beliau telah menandatangani Proklamasi berkenaan pada 3 Ogos lalu bagi menyempurnakannya menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
“Sehubungan itu, Proklamasi Pemilihan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 juga telah ditandatangani dan dicop mohor secara teratur dan sempurna,” menurut surat tersebut.
Surat berkenaan turut memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang pada 15 September lalu dan dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar.
Menurutnya, mesyuarat EXCO telah membuat keputusan kolektif untuk menjunjung ketetapan serta menghormati prerogatif Undang Yang Empat sebagaimana termaktub menurut adat dan UUTKNS 1959.
“Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan memaklumkan secara rasmi bahawa DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diturunkan takhta dan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang baharu berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Mesyuarat berkenaan juga mengarahkan Pentadbiran Kerajaan Negeri, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan keputusan tersebut.
Menteri Besar kemudian memohon Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyembah maklum perkara itu kepada Raja-Raja Melayu.
Tiga dokumen turut dilampirkan bersama surat berkenaan, iaitu Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026; Proklamasi Pemilihan Tuanku Nadzaruddin di bawah Perkara 11 bertarikh sama; serta Proklamasi Menteri Besar bertarikh 3 Ogos 2026.
Surat tersebut menjadi pengesahan bertulis bahawa Menteri Besar bukan sahaja telah menandatangani Proklamasi pada 3 Ogos lalu, malah turut mempengerusikan mesyuarat EXCO yang mengiktiraf pemilihan Tuanku Nadzaruddin dan mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakan keputusan itu. – Suara.TV



