30 perahu berhias semarak Festival Sungai Melaka 2026 di Alor Gajah

MELAKA, – Sebanyak 30 perahu berhias berkonsepkan patriotik menyusuri Sungai Linggi sempena Festival Sungai Melaka 2026, sekali gus memeriahkan penganjuran festival berkenaan di daerah Alor Gajah.

Pertunjukan perahu berhias di Jeti Telok Berembang itu melibatkan komuniti nelayan darat dari Telok Berembang, Ramuan China Kechil, Paya Lebar, Sungai Timun dan Sungai Mati.

Jumlah penyertaan pada edisi kedua itu meningkat berbanding hampir 20 perahu pada penganjuran sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, program berkenaan bukan sekadar memberi ruang kepada nelayan darat menampilkan kreativiti, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh kerjasama antara PPSPM dengan komuniti setempat.

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi menyokong operasi dan promosi Eco-Cruise Sungai Linggi, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada nelayan, peniaga serta penduduk sekitar.

Sungai Rembau dan Sungai Linggi yang kaya dengan flora dan fauna serta dipenuhi pokok berembang turut berpotensi dibangunkan sebagai tarikan pelayaran malam kerana menjadi habitat pelbagai spesies unggas dan kelip-kelip.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan di Alor Gajah, termasuk pertandingan memancing udang galah, dam aji, konda-kondi, busana cilik, tebar jaring, fun walk, plogging dan pertandingan memancing.

“Alhamdulillah, Festival Sungai Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sahaja berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 pengunjung.

“Selain aktiviti menarik untuk seisi keluarga, festival ini turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Program bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Festival Sungai Melaka 2026 mencipta kelainan apabila buat julung kalinya dianjurkan di ketiga-tiga daerah di negeri itu dengan menghimpunkan lebih 30 acara berteraskan pelancongan, rekreasi, warisan, kebudayaan dan komuniti.

Sepanjang hampir tiga bulan penganjurannya, festival tersebut merekodkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, sekali gus menjana limpahan ekonomi kepada peniaga serta penduduk setempat.

Shaharul Azuar berkata, penganjuran festival itu bukan sahaja bertujuan menghidupkan kawasan sungai sebagai lokasi riadah dan pelancongan, malah memberikan manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti.

“Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai program yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat keunikan budaya, warisan serta potensi sungai sebagai produk pelancongan Negeri Melaka,” katanya.

Di Jasin, festival berkenaan mengetengahkan Melaka RC Power Boat Merdeka Race Open Challenge 2026 dan keindahan Tasik Chin Chin yang tenang serta menghijau.

Keunikan tumbuhan periuk kera di tasik berkenaan turut diketengahkan sebagai salah satu tarikan ekopelancongan.

Di Melaka Tengah pula, pelbagai acara dilaksanakan di sekitar Sungai Melaka dan Dataran Pengkalan Rama, termasuk Pertandingan Memancing Sungai Melaka yang dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Festival itu turut mencatat dua pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBOR), masing-masing menerusi rekod pembuatan kuih keria terbanyak sebanyak 10,760 biji dan replika konda-kondi terbesar.

Majlis penyampaian sijil MBOR di Dataran Pengkalan Rama dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ab Rauf, pencapaian berkenaan wajar menjadi kebanggaan rakyat Melaka kerana mencerminkan keunikan warisan negeri, selain berpotensi memperkukuh sektor pelancongan berasaskan budaya tempatan.

Festival Sungai Melaka 2026 dijadualkan melabuhkan tirainya menerusi Festival Seni Selat dan Sungai Melaka di Pantai Tanjung Bidara pada 18 hingga 20 September.

Antara aktiviti yang dijadualkan ialah jet ski, donut boat, banana boat, pertunjukan flyboard dan perahu layar serta pengalaman menaiki Melaka Sea Cruise.

Secara keseluruhannya, festival itu berjaya memperluas promosi produk pelancongan PPSPM, memperkukuh kerjasama strategik serta merancakkan ekonomi komuniti di ketiga-tiga daerah Negeri Melaka.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat