19  arties Malaysia – Indonesia bakal satukam rentak di Uktra Kalcer Malaysia 2026

KUALA LUMPUR: Kalau anda jenis yang suka menghabiskan hujung minggu dengan muzik, suasana meriah dan deretan persembahan daripada artis pilihan, Ultra Kalcer Malaysia 2026 mungkin antara acara yang boleh dimasukkan dalam kalendar kerana festival muzik yang bakal berlangsung di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini tampil dengan barisan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia.

Menariknya, festival anjuran Neptunes Presents ini bukan sekadar menghimpunkan nama-nama popular dalam satu pentas, tetapi turut membawa bersama warna muzik dari dua negara serumpun yang sememangnya mempunyai hubungan rapat, terutama dalam soal citarasa muzik dan penerimaan peminat terhadap karya artis dari kedua-dua negara.

Daripada Indonesia, peminat bakal disajikan dengan persembahan diva tersohor Kris Dayanti, selain nama-nama seperti Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights yang masing-masing mempunyai karakter serta pengikut tersendiri.

Tidak ketinggalan barisan artis tempatan yang akan menjadi tuan rumah kepada festival berkenaan, antaranya Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo, sekali gus menjadikan Ultra Kalcer Malaysia 2026 sebagai sebuah pentas yang menemukan pelbagai bunyi, gaya dan generasi dalam satu acara.

Jurucakap Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya sendiri teruja untuk melihat bagaimana barisan artis dari Malaysia dan Indonesia akan berkongsi pentas serta memberikan pengalaman berbeza kepada peminat yang hadir nanti.

Menurut Nabila, pemilihan barisan artis bukan dibuat secara sembarangan kerana pihak produksi mahu memastikan setiap nama yang dibawa mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu memberikan warna kepada keseluruhan festival, selain lagu-lagu mereka juga sudah mempunyai tempat dalam hati peminat muzik di kedua-dua negara.

“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival ini.

“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti, tetapi senarai lagu yang akan disampaikan masih dirahsiakan sehingga hari persembahan,” katanya.

Nabila yang juga anak kepada rocker terkenal, Datuk Amy Search, berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang berlangsung di The Volume, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.

Bercerita mengenai lokasi pula, Nabila berkata KL Festival Park dipilih kerana lokasinya yang strategik selain mempunyai ruang yang sesuai untuk menampung jumlah pengunjung yang besar, dengan kapasiti lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa.

Jadi, bagi yang sudah lama menantikan festival muzik dengan suasana yang lebih santai dan meriah, ruang yang besar itu tentunya memberi peluang kepada peminat untuk menikmati persembahan tanpa perlu terlalu risau tentang keselesaan sepanjang berada di lokasi.

Lebih menarik, harga tiket juga ditawarkan pada kadar yang mampu milik supaya festival ini boleh dinikmati oleh lebih ramai peminat muzik, manakala jualan tiket sudah dibuka sejak 4 September lalu menerusi laman web www.bbo.events.com.

Ultra Kalcer Malaysia 2026 bukanlah percubaan pertama Neptunes Presents untuk membawa muzik Indonesia dan Malaysia lebih dekat kerana sebelum ini mereka pernah bekerjasama dengan rakan kongsi lain menerusi Festival Muzik Nyalafest yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2024.

Ketika itu, lapan artis dari kedua-dua negara mengambil bahagian, termasuk Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes dan Bilal Indrajaya dari Indonesia, manakala Noh Salleh X Restoe Iboe serta Fugo mewakili Malaysia.

Kali ini, dengan jumlah artis yang lebih ramai dan skala festival yang lebih besar, Ultra Kalcer Malaysia 2026 nampaknya mahu membawa pengalaman yang sedikit berbeza kepada peminat, bukan hanya datang untuk melihat artis kegemaran membuat persembahan tetapi turut menikmati suasana sebuah festival yang mempertemukan muzik Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas.

Apa yang bakal berlaku di KL Festival Park pada November nanti masih banyak yang disimpan sebagai kejutan, terutama apabila senarai lagu setiap artis masih dirahsiakan, tetapi satu perkara yang sudah pasti, dua hari itu bakal menjadi ruang untuk peminat menikmati muzik serantau dengan cara yang lebih santai, dekat dan penuh warna.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat