Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang Tuanku Muhriz – DKU

KUALA LUMPUR – Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang oleh baginda secara sah.

Menurutnya, DKU mengalu-alu kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 15 September lalu yang menegaskan bahawa beliau selaku Menteri Besar tidak mempunyai kuasa ‘unilateral’ untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Kenyataan Menteri Besar bertarikh 15 September lalu adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan UUTKNS 1959

“Justeru kesahan serta kesan proklamasi tersebut hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pendirian tersebut adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan dengan ketetapan DKU.

Ujarnya, menurut perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, perlantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Yang di-Pertuan Besar dan Undang, terletak dalam bidang kuasa Dewan.

“Nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya memetik Sinar Harian di Seremban.

Justeru kata Raja Norazli, keputusan MMK pada 16 September lalu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Ini kerana katanya, setakat mana dokumen terbabit bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan seorang Yang di-Pertuan Besar yang baharu dan mengarahkan pelaksanaannya dengan serta-merta.

“Ia menyentuh perkara- perkara yang berada di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat.

“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan ketetapannya bahawa proklamasi bertarikh 19 April lalu adalah cacat sejak awal, malah tiada siasatan menurut Perkara 10 (1) UUTKNS yang pernah dilaksanakan.

Selain itu ujarnya, tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak lagi memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut.

“Berikutan keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya, fungsi di bawah Perkara 10 (2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.

“Sebarang proklamasi yang mendakwa memilih seorang Yang di-Pertuan Besar yang baharu bersandar pada asas yang sama cacatnya dan ditandatangani oleh orang yang tidak memegang jawatan Undang yang sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang,” katanya.

Jelasnya lagi, prerogatif Undang Yang Empat yang dirujuk dalam dokumen bertarikh 16 September lalu hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang memegang jawatan secara sah dan menurut syarat serta prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Tambahnya, sepertimana yang telah dinyatakan oleh DKU pada 13 September lalu, tiada pegawai kerajaan negeri dikehendaki bertindak atas apa-apa arahan yang berasaskan dokumen bertarikh 5 September lalu atau dokumen bertarikh 16 September 2026.

“Bertindak atas dokumen-dokumen tersebut adalah bertentangan dengan UUTKNS 1959.

“DKU juga mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi dan bahawa terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Sehubungan itu ujarnya, semua pihak diseru supaya menghormati proses mahkamah dan menahan diri daripada mengambil apa-apa langkah yang boleh memintas atau mengganggu proses tersebut.

“Institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu, tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris.

“DKU menyeru semua pihak supaya menjunjung UUTKNS, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan, serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat