SEREMBAN – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dilihat ‘memberontak’ terhadap pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim apabila mendakwa mesyuarat kerajaan negeri telah mengesahkan keputusan menurunkan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir daripada takhta.
SuaraTV memperoleh kenyataan media bertarikh 16 September 2026 itu daripada sumber tinggi dalam kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan tersebut mendakwa keputusan berkenaan dicapai secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 6 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ismail pada 15 September lalu.
Ia sekali gus dilihat bercanggah dengan penjelasan Ismail sebelum ini berhubung kedudukan proklamasi berkenaan serta fungsi Menteri Besar, kerajaan negeri, institusi Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat.
Menurut kenyataan itu, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), bertarikh 19 April lalu, telah ditandatangani dan dicap mohor oleh Undang Luak yang sah serta berkuat kuasa.
Kenyataan berkenaan turut menyatakan bahawa proklamasi tersebut telah ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu, sekali gus menjadikannya sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
“Adalah prerogatif mutlak YTM Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan tersebut.
Dokumen sama mendakwa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin Almarhum Tuanku Ja’afar mengikut Perkara 11 UUTKNS 1959 turut ditandatangani dan dicap mohor oleh Undang Luak yang sah.
“Maka proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959,” katanya.
Kenyataan itu seterusnya mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat, manakala Tuanku Nadzaruddin dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pentadbiran kerajaan negeri turut diarahkan mengambil langkah segera untuk melaksanakan pengumuman tersebut.
Kenyataan berkenaan menggunakan nama “Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan” sebagai pihak yang mengeluarkannya.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada anggota Exco atau pegawai kerajaan negeri yang tampil secara terbuka untuk mengesahkan atau menafikan kenyataan berkenaan.
Pihak Istana Besar Seri Menanti juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan terbaharu itu. – SuaraTV





