PETRA dan TNB perlu cari jalan ringankan bil rakyat, nilai semula dasar apabila keadaan dunia berubah – AMK

KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin tidak mampu mengawal harga tenaga dunia, tetapi kerajaan boleh menentukan berapa banyak tekanan itu patut dipindahkan kepada rakyat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairudin mengakui, beliau memahami asas penstrukturan tarif sejak Julai 2025 yakni Kerajaan Madani mahu subsidi lebih bersasar dan pada masa sama memastikan bekalan elektrik negara kekal stabil serta mampan.

“Prinsip itu saya sokong. Tetapi dasar yang baik mesti berani dinilai semula apabila keadaan dunia berubah.

“Saya mendengar rungutan rakyat tentang bil elektrik yang semakin tinggi. Tambahan RM30, RM50 atau RM100 mungkin nampak kecil di atas kertas, tetapi bagi keluarga biasa, itulah duit susu anak, barang dapur dan belanja sekolah.

“Pengguna domestik yang melebihi 600 kWh sebulan terdedah kepada Automatic Fuel Adjustment (AFA). Kadarnya meningkat daripada +2.59 sen/kWh pada Jun kepada +3.59 sen pada Julai, +3.80 sen pada Ogos dan +3.67 sen/kWh pada September 2026.

“Ketidaktentuan akibat krisis Selat Hormuz pula memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia termasuk LNG dan rantaian bekalan tenaga.

“Sebab itu saya menggesa Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga menilai semula tahap perlindungan AFA kepada pengguna domestik,” kata Danish dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, had 600 kWh semata-mata tidak semestinya menggambarkan kemampuan.

Jelasnya, keluarga B40 dan M40 dengan ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan peralatan perubatan di rumah mungkin menggunakan elektrik lebih tinggi kerana keperluan, bukan kemewahan.

“Tidak perlu kembali kepada subsidi pukal. Pertimbangkan perlindungan AFA secara bersasar dan berperingkat dengan mengambil kira pendapatan, bilangan tanggungan dan keperluan sebenar isi rumah.

“Dalam masa yang sama, TNB perlu menjadikan skim Time-of-Use (TOU) lebih mudah dan benar-benar bermanfaat kepada rakyat. Melalui TOU, penggunaan pada waktu luar puncak seperti selepas 10 malam, sebelum 2 petang pada hari bekerja serta sepanjang hujung minggu boleh menikmati kadar yang lebih rendah.

“Dengan jutaan data daripada smart meter, TNB sepatutnya boleh membantu pengguna mengetahui sama ada TOU sesuai dengan corak penggunaan mereka dan berapa sebenarnya mereka boleh jimat jika sebahagian penggunaan dialihkan ke waktu luar puncak.

“Jangan sekadar suruh rakyat berjimat. Tunjukkan kepada rakyat bagaimana mereka boleh berjimat.

“Namun TOU bukan jawapan kepada semua masalah. Keluarga dengan anak kecil, warga emas atau ramai penghuni tidak semestinya mempunyai kebebasan untuk mengalihkan penggunaan elektrik ke waktu malam. Sebab itu penyelesaian kepada tekanan bil mesti merangkumi TOU, perlindungan

“AFA yang lebih bersasar dan intervensi kerajaan apabila berlaku kejutan luar biasa harga tenaga dunia.

“Apabila keadaan berubah dan rakyat mula terhimpit, kerajaan mesti mendengar dan bertindak. Rakyat cuma tidak mahu kejutan harga tenaga dunia ditanggung sendirian,” tegas Danish.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat