Negeri Sembilan perkenal pendekatan MANES untuk dekati dan membantu rakyat

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan kini memperkenalkan Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai pendekatan baharu untuk mendekati, mendengar, membantu dan memperkasa rakyat.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan , Siti Nur Umaira Hasim berkata MANES mengangkat pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga melalui satu ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh, mampan dan inklusif.

Dalam satu kenyataan beliau berkata MANES diterjemahkan melalui lima inisiatif utama iaitu MANES@Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES@DuIT Je!.

“MANES@Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih dekat melalui penempatan pegawai bertugas di setiap DUN, manakala Kembara Kasih MANES pula membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka.

“MANES Prihatin menggunakan pendekatan ‘door to door’, MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga manakala MANES@DuIT Je! memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatab,” menurut kenyataan itu.

Semalam, berlangsungnya Majlis Pelancaran Kembara Kasih MANES yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang turut dihadiri Siti Nur Umaira.

Menurut beliau, pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan tetapi turut diberikan ruang dan sokongan untuk menjadi lebih berdikari.

“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni, MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak RM532,704 bantuan turut disalurkan untuk menyokong usaha kebajikan masyarakat.

Daripada jumlah itu, RM339,000 diperuntukkan melalui Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

Siti Nur Umaira berkata bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan serta organisasi yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kuat, masyarakat akan lebih sejahtera.

“Itulah asas MANES, kerajaan yang mendengar, turun padang, prihatin dan memperkasa rakyat,” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat