Oleh Zihan Zari
TEMERLOH – Usaha Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam mendekati masyarakat melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat Madani (SAM) dan Kampung Angkat Madani (KAM) 2026 menjadi simbol bermakna kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ira dan penduduk Kampung Telok Ira, Mukim Bangau, dekat sini baru-baru ini.
Kedua-dua program bukan sekadar majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU), sebaliknya menjadi permulaan kepada satu inisiatif pembangunan komuniti yang memberi manfaat terus kepada warga sekolah, penduduk kampung dan generasi muda setempat.
Majlis menandatangani MoU SAM telah diadakan pada sesi pagi di SK Telok Ira, manakala KAM pula berlangsung pada sesi petang di Pejabat Penghulu Mukim Bangau di sini, telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah KPTG, Dato’ Hj. Mohd Fauzi Hj. Mohd Yatim.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JKPTG, Lee Teck Chiang; Pegawai Daerah dan Tanah Temerloh, Dato’ Khairur Rizal Ramli; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah Daerah Temerloh, Hj. Mohd Affendey Mohd Saad; Guru Besar SK Telok Ira, Rosnah Said; Penghulu Mukim Bangau, Mohd Ridzuan Daud; barisan Tok Empat; dan kepimpinan komuniti setempat.
JKPTG dalam kenyataan berkata, pelaksanaan program SAM dan KAM di sini merupakan projek kali kedua di bawah penyelarasan JKPTG, selepas kejayaan pelaksanaan program yang sama di Kota Bharu, Kelantan pada tahun sebelumnya.
Katanya, melalui inisiatif ini, kerja-kerja naik taraf di SK Telok Ira dan Kampung Telok Ira akan mula dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik bermula Julai 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada November ini.
“Bagi warga SK Telok Ira, program ini diharap dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa, ceria dan kondusif.
“Kemudahan yang ditambah baik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid-murid, malah turut menyokong guru-guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
“Pelaksanaan program KAM di Kampung Telok Ira pula memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup penduduk melalui penambahbaikan fasiliti komuniti.
“Inisiatif ini diharap dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk serta membuka ruang kepada aktiviti masyarakat, khususnya yang melibatkan anak-anak muda bagi menyokong kesejahteraan fizikal dan mental mereka, ”katanya lagi.
Ujarnya, program ini turut mencerminkan komitmen JKPTG dalam mendukung agenda Malaysia MADANI melalui pendekatan turun padang, kerjasama strategik dan pembangunan komuniti yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“Lebih daripada peranan utamanya dalam tadbir urus tanah dan pengurusan tanah Persekutuan, JKPTG terus membuktikan bahawa jabatan ini turut memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan masyarakat, pendidikan dan pembangunan komuniti secara inklusif.
“Pelaksanaan SAM dan KAM di sini menjadi bukti bahawa pembangunan tidak hanya diukur melalui projek berskala besar, tetapi juga melalui usaha menyentuh kehidupan rakyat secara dekat, daripada bilik darjah yang lebih selesa hingga kepada kemudahan kampung yang lebih bermanfaat, ”ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi menzahirkan rasa berbesar hati kerana JKPTG dapat menjalinkan kerjasama bersama pihak sekolah dan komuniti Mukim Bangau bagi menjayakan projek naik taraf ini.
Beliau turut berharap agar inisiatif Kerajaan Madani ini dapat memberi manfaat yang berpanjangan kepada murid-murid, guru-guru, penduduk kampung dan masyarakat setempat. -SUARA.TV



