KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa sedih susulan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta terus mendukung dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Kami bersedih dengan keputusan itu.
“Walau bagaimanapun, kami tetap menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Dan kami merayu agar gunakanlah seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik.
“Dan kami tetap mendukung institusi Raja-Raja.
“Kami tetap mendaulatkan Raja-Raja.
“Dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik yang akan diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini, dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan berkenaan ditangguhkan.
Dalam mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026, manakala banduan bukan warganegara akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.



