KUALA LUMPUR – Perbincangan dan sesi dialog yang diadakan sepanjang program M360 ASEAN GSMA di ibu negara telah membuktikan satu perkara iaitu Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sekadar satu teknologi yang digunakan oleh perniagaan tetapi satu keupayaan asas yang akan menentukan cara perniagaan bersaing.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata di seluruh rantau ASEAN, perniagaan kini berada dalam fasa ujian, susunan semula operasi, model tenaga kerja dan membuat keputusan berpandukan teknologi AI.
“Teknologi AI yang menjana kandungan dan kini semakin banyak teknologi kecerdasan buatan yang berupaya bertindak secara sendirian mempercepatkan lagi perubahan ini,” katanya.
Beliau menyampaikan ucapan penutup persidangan berkenaan yang berlangsung selama 2 hari sejak semalam.
Menurut beliau, perubahan dunia perniagaan yang sedang berlaku disebabkan AI mesti dibina di atas asas infrastruktut digital yang kukuh.
“Teknologi ini merupakan sambungan rangkaian, kapasiti pengiraan, infrastruktur awam dan data, serta rangkaian yang pintar, berdaya tahan dan selamat,” katanya.
Teo berkata melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), liputan internet di kawasan berpenduduk di Malaysia telah mencapai 99.75 peratus pada 31 Julai lepas.
Sementara itu, perniagaan yang mengutamakan penggunaan AI bermaksud juga mengutamakan kesejahteraan rakyat kerana perubahan yang berlaku melibatkan manusia bukan hanya sekadar algoritma atau pengiraan produktiviti, kata beliau.
“Teknologi kecerdasan buatan akan mengubah bentuk pekerjaan, kemahiran yang diperlukan serta cara sesebuah organisasi beroperasi.
“Oleh itu, tanggungjawab kita bukan sekadar menyediakan perusahaan untuk menghadapi era kecerdasan buatan, tetapi juga menyediakan rakyat kita untuk menghadapi ekonomi yang berlandaskan teknologi ini,” katanya.
Selepas itu, Teo berkata kemajuan teknologi mesti seiring dengan kepercayaan.
Katanya, apabila teknologi AI menjadi sebahagian daripada organisasi perniagaan, aspek perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan tanggungjawab menjadi semakin penting.
“Bagi pihak kerajaan, cabaran yang kita hadapi adalah melindungi rakyat dan memperkukuh kepercayaan tanpa menghalang kemajuan teknologi secara berlebihan,” katanya.
Beliau berkata bagi Malaysia segala usaha ini untuk mencapai matlamat iaitu menjadi sebuah negara maju dalam bidang AI yang inklusif dan lestari menjelang tahun 2030.
Matlamat ini sedang diterjemahkan melalui Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan Negara 2026-2030, iaitu satu pelan hala tuju lima tahun yang menggariskan langkah-langkah ke arah membina sebuah negara berlandaskan nilai dan kesejahteraan rakyat.



