KUALA LUMPUR – Wanita UMNO perlu diberi lebih banyak peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, termasuk bagi calon-calon yang berpotensi untuk menang.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, perkara itu selari dengan penekanan mengenai peranan Wanita UMNO serta sasaran 30 peratus yang dibangkitkan dalam ucapan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.
“Saya hari ini ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Noraini Ahmad selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia.
“Dari tahun 2023 sehingga tahun 2026, saya rasa ini adalah ucapan yang sangat baik yang dia bagi,” katanya.
Menurut Bibi Sharliza, fokus utama Wanita UMNO ketika ini perlu diberikan kepada pengukuhan politik dalam keluarga UMNO itu sendiri, termasuk memastikan sasaran 30 peratus diberikan perhatian.
“Apa yang perlu kita selesaikan adalah politik Wanita UMNO. Maksudnya dalam keluarga UMNO itu sendiri.
“30 peratus yang dia bagi cakap laluan itu adalah berkenaan dengan Wanita. Kita ada Wanita, kita ada Puteri. Kita kena ingat, kita bukan sahaja Wanita UMNO. Tapi laluan 30 peratus itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata, Presiden UMNO turut memberikan gambaran bahawa Wanita akan diberi peluang dalam PRU akan datang, yang diharapkan dapat diterjemahkan kepada jumlah kerusi lebih banyak untuk calon-calon berpotensi.
“Jadi Yang Berhormat Presiden UMNO semalam dia bagi tahu Wanita akan diberi peluang di dalam PRU yang akan datang.
“Mungkin mencapai 30 peratus atau kurang daripada itu. Tapi kami harap dapat kerusi yang lebih banyak bagi calon-calon yang berpotensi,” katanya.
Dalam pada itu, Bibi Sharliza berkata, satu jawatankuasa yang akan ditubuhkan bagi melatih pemimpin-pemimpin berpotensi perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan calon Wanita UMNO menghadapi PRU akan datang.
Beliau yang pernah berada dalam Puteri UMNO sebelum menyertai Wanita UMNO berkata, golongan wanita mempunyai pilihan sama ada meneruskan penglibatan dalam politik atau menceburi sektor korporat.
“Bagi saya hari ini kita kena ada hal itu yang betul. Bukan kita menyarankan sahaja, tapi kita perlu menguasai 30 peratus,” katanya.
Bibi Sharliza turut berharap kepimpinan Wanita UMNO Malaysia dapat mencapai pencapaian terbaik pada PRU akan datang dengan sokongan Ketua-Ketua Wanita UMNO Negeri.
“Kami sangat berharap Yang Berhormat Presiden memberikan kepercayaan kepada Wanita dalam keluarga UMNO,” katanya.


