KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan spekulasi mengenai pemimpin kanan Umno yang akan ditahan selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada minggu ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan dan penahanan pemimpin kanan Umno tiada dalam senarai penyiasatan yang diterima pihaknya.
“Kadang-kadang masyarakat lebih percaya andaian dan spekulasi.
“Harap kalau ada pihak dapat sesuatu berita, ia perlu dapat bukti daripada pihak wajib dan jika berkaitan kita, ia adalah daripada SPRM,” katanya kepada pemberita pada sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM, lapor Utusan di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, Umno menegaskan tidak akan menghalang tindakan SPRM jika terdapat bukti kukuh untuk mendakwa mana-mana pemimpin parti itu jika terlibat dalam apa jua salah laku.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan sekiranya siasatan mendapati terdapat asas kukuh untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang siasatan termasuk membabitkan pemimpin kanan parti perlu dilakukan secara adil dan telus.


