KUALA LUMPUR – Siasatan kes berkaitan rasuah lot tapak perumahan di Johor tidak melibatkan mana-mana pihak di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata beliau mengambil maklum tentang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah serta salah guna kuasa itu.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai merit kes yang sedang dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat,” katanya.
Menurut Mohd Jafni, Kerajaan Negeri Johor sedang bertungkus-lumus memastikan lebih ramai Bangsa Johor mempunyai akses kepada rumah yang mampu dimiliki.
Katanya, amanah besar berkenaan tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengambil kesempatan atas harapan dan kesusahan rakyat untuk memiliki sebuah rumah.
“Johor juga terus komited untuk mencapai sasaran penyiapan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung tahun 2026, dan setakat ini lebih 21,000 unit rumah telah siap serta diserahkan kepada bangsa Johor.
“Usaha besar ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri memastikan agenda pemilikan rumah bangsa Johor terus dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti,” katanya.
SPRM semalam, menahan seorang Pengerusi Jawatankuasa Perumahan sebuah badan berkanun persekutuan di Johor kerana disyaki menerima wang daripada kira-kira 400 orang pemohon tapak lot rumah membabitkan jumlah kira-kira RM1.6 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam pada Isnin ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Johor.
Suspek dipercayai meminta kira-kira RM4,000 daripada setiap pemohon bagi urusan permohonan lot tapak perumahan kerajaan.
Siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan dipercayai berlaku antara 2016 hingga 2025.


