KUALA LUMPUR – Jika sesebuah negara tidak menganggap kesaksamaan dalam kemasukan universiti sebagai prinsip teras, ini secara efektifnya bermakna Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak benar-benar menghargai bakat, merit, dan prestasi akademik. Ini merupakan kerugian besar yang ditanggung oleh masa depan negara akibat kegagalan KPT menjalankan tanggungjawabnya.
Pengerusi Kebangsaan DAPSY Woo Kah Leong berkata, bakat tidak mengenal kaum, dan pembasmian kemiskinan tidak sepatutnya mengikut garis kaum. KPT mesti mengimbangi sebaiknya antara langkah pembasmian kemiskinan dengan prinsip berasaskan merit dalam dasar pendidikan tinggi negara.
“Merujuk kepada pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir bahawa 27 pelajar cemerlang STPM akan menerima penajaan penuh untuk melanjut panduan pengajian di universiti awam, saya menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar tidak terlepas pandang daripada gambaran yang lebih besar dan mula melaksanakan reformasi pendidikan tinggi yang berani serta komprehensif.
“Apa yang dinanti-nantikan oleh pelajar di seluruh negara ialah sistem kemasukan universiti awam yang telus dan saksama, bukannya program penajaan pendidikan tinggi yang hanya memberi manfaat kepada 27 pelajar sahaja.
“Sekiranya KPT terus teragak-agak untuk melaksanakan reformasi berani dan komprehensif terhadap sistem kemasukan universiti, kitaran ganas penghijrahan pakar (brain drain) dan ketidaksaksamaan akses kepada pendidikan tinggi akan terus berlarutan bagi tempoh 10, 20, atau 50 tahun akan datang.
“Khususnya, ramai anak-anak Malaysia akan terus dinafikan akses saksama kepada pendidikan tinggi sekiranya sikap tidak bertindak dan acuh tak acuh KPT terhadap reformasi berterusan.
“Akhirnya, mereka mungkin dirampas peluang untuk mengikuti kursus yang paling mereka ingini serta paling sesuai dengan kebolehan dan cita-cita mereka,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Menurut Ketua Pemuda PH itu, pada dasarnya, kementerian mesti berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan dan memupuk bakat terbaik negara, dan pada masa yang sama, melaksanakan dasar pembasmian kemiskinan sasaran bagi membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan, sekali gus meletakkan Malaysia di laluan pembangunan mampan.
“DAPSY percaya bahawa langkah pertama ke arah reformasi yang bermakna adalah untuk KPT menunjukkan komitmen sejatinya terhadap reformasi dengan menjadikan proses kemasukan universiti telus sepenuhnya.
“KPT sepatutnya menerbitkan data lengkap mengenai prestasi akademik dan piawaian kemasukan berkaitan bagi pelajar yang diterima masuk ke semua universiti awam.
“Ini akan membolehkan keseluruhan proses pemilihan tertakluk kepada penelitian awam yang ketat dan kebertanggungjawaban, berbanding bergantung kepada penjelasan rasmi sepihak setiap tahun untuk meredakan keresahan pelajar dan ibu bapa selepas keputusan kemasukan diumumkan,” katanya.
Kah Leong menegaskan, Malaysia memerlukan sistem pendidikan tinggi berkelas dunia dengan kadar segera, bukannya Kementerian Pendidikan Tinggi yang sentiasa ketinggalan setapak dan kekurangan pemikiran berpandangan ke hadapan.
“Sebagai contoh, DAPSY dan pelbagai kumpulan masyarakat sivil telah berulang kali mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selama bertahun-tahun. Namun pada awal tahun ini, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry masih berhujah bahawa AUKU masih terpakai.
“Hanya selepas Perdana Menteri menyatakan secara terbuka bahawa AUKU patut dimansuhkan, barulah Zambry secara tergesa-gesa mengikut jejak langkah tersebut dan membalikkan pendiriannya. Sikap birokratik menteri yang lambat menyedari kehendak reformasi ini amat mengejutkan.
“DAPSY menegaskan bahawa KPT sepatutnya bertindak sebagai barisan hadapan dalam pendidikan tinggi dengan merangka laluan yang jelas ke hadapan bagi universiti dan institusi pendidikan tinggi dalam dasar-dasar teras. Ini memerlukan visi, keberanian, dan kepimpinan yang sejati daripada kementerian, dan bukannya mentaliti lapuk yang sekadar melepaskan batuk di tangga, mengambil tindakan setapak demi setapak, dan hanya bertindak selepas berdepan kritikan awam.
“Hanya melalui reformasi komprehensif terhadap sistem kemasukan universiti, generasi muda Malaysia dapat memperoleh semula harapan sejati untuk masa depan yang lebih saksama dan cemerlang,” kata Adun Pasir Bedamar itu lagi.


