CYBERJAYA – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa PAS tidak berlaku jujur dalam isu cabutan khas loteri apabila gagal menyatakan bahawa beliau merupakan Menteri Kewangan yang mengurangkan jumlah cabutan berkenaan daripada 22 kepada lapan kali setahun ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Lim, yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata jumlah lapan cabutan khas itu kemudian dinaikkan semula kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran kerajaan yang melibatkan PAS, UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.
“PAS tidak jujur dan tidak ikhlas bila gagal menyatakan bahawa saya merupakan Menteri Kewangan yang pertama mengurangkan cabutan khas loteri daripada 22 kali kepada lapan kali setahun semasa kerajaan PH memerintah pada 2018-2020.
“Bilangan lapan kali ini dinaikkan kepada 22 kali oleh kerajaan gabungan PAS, UMNO, BN dan PN pada 2020 dan dikekalkan sehingga akhir pemerintahan kerajaan BN/PN pada akhir 2022,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada laporan mengenai persoalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer terhadap PAS berhubung peningkatan jumlah cabutan khas loteri kepada 22 kali setahun ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Dalam kenyataan sama, Lim turut mempersoalkan pendirian PAS terhadap DAP dalam isu Islam.
Menurutnya, PAS sering menuduh pemimpin DAP menentang Islam sedangkan dakwanya, DAP hanya menentang PAS serta politik kebencian dan pembohongan.
“Tak puji tak apa tetapi soalannya ialah mengapa PAS suka memfitnah pemimpin DAP menentang Islam sungguhpun DAP hanya menentang PAS dan politik kebencian dan pembohongan mereka,” katanya.
Lim turut mempersoalkan pendirian PAS berhubung isu perjudian dengan merujuk kepada tempoh ketika parti itu berada dalam kerajaan.
“Terpulang kepada rakyat untuk menentukan sama ada permainan politik talam dua muka PAS ini melanggari prinsip dan bersifat hipokrit,” katanya.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Rayer mempersoalkan mengapa PAS kekal dalam kerajaan sekiranya parti itu benar-benar membantah peningkatan jumlah cabutan khas loteri kepada 22 kali setahun.
Rayer sebelum ini turut meminta PAS menjelaskan mengapa parti itu tidak mendesak keputusan tersebut dibatalkan atau meminta campur tangan Perdana Menteri ketika itu sekiranya peningkatan cabutan tersebut benar-benar bertentangan dengan prinsip parti.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan menegaskan bahawa pengembalian had 22 cabutan ketika tempoh COVID-19 merupakan tanggungjawab bersama Kabinet, termasuk menteri daripada PAS.
Lim sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.


