Izama dan Suraya Yusoff tampil bersama MK K-Clique dalam ‘Bersua Nanti’

Bermula daripada sebuah demo ringkas, Bersua Nanti akhirnya berkembang menjadi sebuah karya yang menemukan dua bakat baru, Izama dan Suraya Yusoff, bersama nama yang sudah cukup dikenali dalam industri muzik tanah air, MK K-Clique.

Menampilkan gabungan R&B, Hip Hop dan sedikit sentuhan Jazz, lagu ini hadir dengan warna tersendiri apabila ketiga-tiga penyanyi membawa karakter suara yang berbeza. Ia bukan sekadar percubaan menghasilkan sebuah lagu kolaborasi, sebaliknya menjadi ruang untuk Izama dan Suraya memperkenalkan diri mereka kepada pendengar dengan karya yang mempunyai identiti tersendiri.

Menurut Izama, Bersua Nanti bermula daripada demo awal yang dihasilkannya bersama Wongie. Selepas itu, beliau menyerahkan lagu tersebut kepada Suraya untuk mengisi bahagian yang memerlukan warna suara wanita, sebelum mereka bersama Ali Nurazmal, abang kepada Suraya, berbincang mengenai lirik, melodi dan lenggok lagu.

Bagi Suraya pula, lagu ini cukup istimewa kerana ia merupakan lagu pertama yang dinyanyikannya secara keseluruhan. Minatnya terhadap jazz turut menjadi antara sebab mengapa elemen tersebut diberikan ruang dalam susunan lagu.

“Ini merupakan lagu pertama nyanyian dari saya secara keseluruhannya bersama bantuan abang saya, Ali Nurazmal dalam penciptaan lirik dan melodi. I’ve always been interested in jazz, so my brother and I spent a lot of time exploring different ideas and arrangements,” katanya.

Kehadiran MK K-Clique pula pada asalnya bukan sesuatu yang mereka jangka. Demo lagu tersebut dihantar oleh pengarah muzik video, Fadhli Masoot, kepada MK untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas. Namun, MK akhirnya berminat untuk turut serta dan mengisi verse terakhir.

Klik Pada Gambar

Selepas verse tersebut dirakam, Izama dan Suraya merasakan gaya MK sangat sesuai dengan keseluruhan lagu, sekali gus melengkapkan gabungan tiga penyanyi dengan latar dan gaya yang berbeza.

Proses rakaman dilakukan secara berperingkat, bermula dengan Izama yang mengisi first verse sebelum Suraya melengkapkan beberapa bahagian utama lagu. MK kemudian merakam bahagiannya di studio sendiri sebelum fail tersebut diserahkan untuk proses seterusnya.

Bagi kedua-dua penyanyi baharu itu, bekerja bersama MK juga menjadi pengalaman yang cukup baik kerana penyanyi berkenaan memberikan komitmen walaupun mempunyai jadual yang padat.

Namun, Bersua Nanti bukan hanya menarik kerana gabungan tiga nama tersebut. Lagu ini turut membawa kisah tentang kehilangan, keraguan dan pencarian makna dalam sesebuah hubungan. Dalam perjalanan emosi itu, terdapat harapan bahawa setiap pertemuan dan perpisahan mempunyai hikmah tersendiri.

Makna tersebut bagaimanapun sengaja dibiarkan terbuka supaya pendengar dapat menafsirkannya mengikut pengalaman dan pemahaman masing-masing.

Pendekatan yang sama turut dibawa ke dalam muzik videonya yang diarahkan oleh Fadhli Masoot. Menurut Fadhli, beliau memilih visual surreal dan penggunaan simbol bagi menggambarkan perjalanan manusia, konflik dalaman, godaan serta pencarian petunjuk dalam kehidupan.

Beliau tidak mahu setiap visual diterjemahkan secara terlalu literal, sebaliknya menggunakan warna dan lokasi sebagai metafora yang boleh ditafsirkan sendiri oleh penonton.

Antara lokasi yang menarik perhatian ialah Bukit Guling Ayam, yang digunakan untuk mendapatkan babak matahari terbit bagi bahagian MK K-Clique. Fadhli melihat visual tersebut sebagai gambaran seseorang yang mendapat petunjuk dan kembali mendekati alam semula jadi.

Sebelum itu, lokasi di sebuah kelab di Petaling Street pula digunakan bagi menggambarkan manusia yang berasa kosong dan cuba mengisi kekosongan tersebut melalui hiburan.

Menariknya, perjalanan menghasilkan muzik video ini turut mempunyai cabaran tersendiri. Fadhli pada awalnya merancang penggambaran di Morocco, namun rancangan tersebut terpaksa berubah apabila berlaku penangguhan pada saat akhir. Dengan melibatkan artis dan kru produksi yang sudah mengatur jadual masing-masing, perubahan itu memerlukan Fadhli mencari jalan lain untuk meneruskan projek.

Nasib baik, JK Malatang tampil membantu meringankan beban produksi dan penggambaran akhirnya dapat diteruskan.

Kini, Bersua Nanti sudah tersedia di pelbagai platform digital, manakala muzik videonya turut mendapat sambutan apabila sudah mencatat sekitar 46,000 tontonan.

Bagi Fadhli, sambutan tersebut sudah memadai dan beliau tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Apa yang lebih penting ialah pendengar dapat menikmati lagu dan muzik video itu dengan tafsiran masing-masing.

Dengan gabungan Izama dan Suraya Yusoff sebagai wajah baru, bersama MK K-Clique yang memberikan warna tersendiri, Bersua Nanti akhirnya menjadi sebuah karya yang tidak terlalu terikat kepada satu makna. Ia hadir untuk didengar, dilihat dan ditafsir mengikut cerita yang dibawa oleh setiap pendengar.

INFO

Tajuk: Bersua Nanti
Komposer: Izama & Wongie
Penulis lirik: Ali Nurazmal, Suraya Yusoff, Izama & MK K-Clique
Publisher: Taja Archice Sdn Bhd
Pengarah muzik video: Fadhli Masoot
Penyanyi: Izama, Suraya Yusoff & MK K-Clique

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat