Pemuda UMNO Pokok Sena desak MOF dedah pecahan komitmen projek KKDW

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) digesa membentangkan pecahan terperinci perbelanjaan projek jalan luar bandar sebelum melabel Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebagai berbelanja melebihi peruntukan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, angka perbelanjaan yang dikemukakan perlu disertakan penjelasan mengenai komitmen kontrak, tuntutan kerja dan projek yang telah diluluskan serta dibawa dari tahun sebelumnya.

Menurutnya, penjelasan itu penting bagi mengelakkan istilah “terlebih belanja” mencetuskan persepsi bahawa KKDW membelanjakan wang kerajaan sesuka hati atau tanpa kelulusan.

“Jangan hukum KKDW dengan satu jadual. Jelaskan ke mana pergi komitmen projek yang telah diluluskan.

“Adakah angka yang disebut itu benar-benar bermaksud KKDW berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan, atau ia turut merangkumi komitmen kontrak dan tuntutan projek yang telah diluluskan serta dibawa daripada tahun sebelumnya?

“Ini perbezaan yang sangat besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas polemik peruntukan projek jalan luar bandar serta kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menggunakan ungkapan “besar pasak daripada tiang” dan “jahanam negara macam ini”.

Mohd Farhan berkata, sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil sepatutnya mempunyai akses kepada gambaran kewangan yang lebih lengkap sebelum membuat kesimpulan terhadap sebuah kementerian Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan rasmi MOF sebelum ini menunjukkan perbelanjaan projek jalan luar bandar berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion pada 2023, RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2024 dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion pada 2025.

Bagaimanapun, Mohd Farhan berkata, angka berkenaan perlu dijelaskan bersama latar belakang setiap komitmen dan bukan dipersembahkan secara terpisah.

“Berapa daripada jumlah itu merupakan komitmen projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan sebelumnya? Berapa merupakan tuntutan kerja yang telah siap atau sedang dilaksanakan? Berapa pula komitmen yang dibawa daripada tempoh COVID-19?” soalnya.

Menurut beliau, KKDW telah menjelaskan bahawa terdapat projek dengan komitmen kontrak sejak 2019 hingga 2021 yang pelaksanaannya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Apabila kerja disambung semula, katanya, tuntutan pembayaran bagi projek berkenaan turut dibawa ke tahun kewangan berikutnya.

KKDW juga menegaskan sistem kewangan kerajaan termasuk iGFMAS tidak membenarkan sesebuah kementerian membuat perbelanjaan sewenang-wenangnya tanpa butiran dan peruntukan yang diluluskan.

Mohd Farhan berkata, sekiranya benar berlaku perbelanjaan tanpa kelulusan atau pelanggaran tatacara kewangan, MOF perlu menyatakan dengan jelas projek terlibat, pihak yang memberikan kelulusan serta peraturan yang dilanggar.

Dalam pada itu, beliau memberikan kredit kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana bersuara mempertahankan keperluan menyelesaikan pembayaran projek berkenaan.

Katanya, isu itu bukan sekadar melibatkan angka di atas kertas, tetapi turut memberi kesan kepada kontraktor, subkontraktor, pembekal, pekerja dan keluarga mereka serta masyarakat luar bandar yang menunggu kemudahan asas disiapkan.

“Apabila kerja kerajaan telah dilaksanakan, kontraktor bukan bank kepada kerajaan. Mereka perlu dibayar,” katanya.

Beliau berkata, MOF sendiri mengakui terdapat tunggakan pembayaran kepada kontraktor dan memaklumkan RM300 juta telah diluluskan bagi membantu menyelesaikan perkara itu, selain sedang mencari penjimatan daripada kementerian lain untuk menampung komitmen terbabit.

Namun, katanya, terdapat percanggahan yang perlu diperjelaskan apabila MOF menyifatkan RM300 juta itu sebagai “peruntukan tambahan”, sedangkan KKDW menjelaskan jumlah tersebut bukan peruntukan baharu tetapi peruntukan yang sepatutnya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja.

“Perkara seperti ini lebih baik dijawab dengan dokumen, tarikh kelulusan dan pecahan angka, bukan perang kenyataan,” katanya.

Mohd Farhan turut mengingatkan Muhammad Kamil supaya tidak mempolitikkan akaun kerajaan secara “separuh masak” kerana kedudukannya membawa tanggungjawab lebih besar daripada sekadar mengeluarkan kenyataan yang menarik perhatian media.

Beliau berkata, polemik itu juga tidak seharusnya berkembang menjadi pertelingkahan antara MOF dengan KKDW kerana kedua-duanya merupakan kementerian dalam kerajaan yang sama.

“Kalau dua kementerian mempunyai tafsiran berbeza terhadap angka yang sama, bentangkan rekonsiliasi akaun dan fakta kepada rakyat. Itulah cara kerajaan yang bertanggungjawab menyelesaikan persoalan.

“Jangan kerana mahu mempertahankan satu jadual, kita terlupa mempertahankan orang yang sudah menyiapkan kerja.

“Jalan sudah dibina, kerja sudah dibuat dan komitmen kerajaan sudah wujud. Maka selesaikan pembayaran. Itu lebih penting daripada menentukan siapa menang dalam perang kenyataan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat