250 benih pokok ‘Nyok Kedah’ ditanam sepanjang Terusan Tengah Sungai Santap sempena ‘Project 2 Million’

Oleh Zihan Zari

POKOK SENA – Sebanyak 250 benih pokok ‘Nyok Kedah’ telah ditanam secara serentak di sepanjang Terusan Tengah Sungai Santap, Telaga Mas, Mukim Jabi sebagai simbol komitmen dalam mewujudkan persekitaran yang lebih hijau.

Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli berangkat hadir ke Program ‘Project 2 Million’ Penanaman 2.2 Juta Pokok Urban Forest @MADA Daerah Pokok Sena, dekat sini pada Isnin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohammad Hasbullah Abd. Hadi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Muhamad Amri Wahab; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Zulkifli Romli; Timbalan Presiden Jemaah Dato’ Negeri Kedah (JDNK), Dato’ Seri Setia Diraja Dato’ Paduka Hj. Bakar Din; dan Naib Presiden 1 merangkap Setiausaha JDNK, Dato’ Hj. Mohamad Che Nai.

Dalam majlis itu, Tunku Shazuddin Ariff yang juga Presiden JDNK turut berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan 500 benih pokok ‘Nyok Kedah’ kepada wakil komuniti dari Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas dan Desa KEDA Bendang Perang untuk ditanam di perkarangan rumah masing-masing.

Program ini satu inisiatif dari pihak MADA yang dilaksanakan bagi menggalakkan usaha pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan komuniti sekitar dan membangunkan sebuah kawasan ekopelancongan di daerah ini, selain memberi peluang kepada komuniti menjana pendapatan tambahan.

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Derga Muhamad Amri Wahab berkata, penanaman pokok yang dilaksanakan di kawasan Sungai Santap merupakan satu usaha untuk memastikan kawasan ini terus hijau, nyaman dan mempunyai persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, usaha hari ini penting untuk menghijaukan kembali kawasan dan menjaga ekosistem hutan supaya lebih stabil. Inisiatif ini juga membuktikan bahawa pembangunan dan kelestarian alam sekitar boleh bergerak seiring.

“Kita mahu Kedah terus membangun, tetapi dalam masa yang sama kita tidak mahu mengorbankan kehijauan dan keseimbangan alam.

“Sebab itu saya melihat usaha menghijaukan kawasan seperti Urban Forest ini sebagai satu langkah yang sangat baik dan pokok bukan sekadar menghiasi kawasan.

“Pokok memberikan teduhan, membantu mengurangkan bahang, mencantikkan persekitaran dan paling penting, memberi kehidupan yang lebih selesa kepada masyarakat untuk masa hadapan, ”katanya.

Dalam pada itu, MADA menerusi catatan laman media sosial berkata, keberangkatan Tunku Mahkota Kedah ke program ini menjadi satu penghormatan dan suntikan semangat kepada warganya serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif penghijauan dan kelestarian alam sekitar.

Untuk rekod, ‘Project 2 Million’ Penanaman 2.2 Juta Pokok Urban Forest tercetus hasil daripada titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu melihat ekosistem dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara, agar masyarakat di Kedah mengekalkannya.

Baginda telah berkenan melancarkannya di Kompartmen 42 Hutan Simpan Pedu Daerah Padang Terap pada 21 Januari tahun lalu.

‘Project 2 Million’anjuran JDNK menyasarkan sebanyak 2.2 juta pokok untuk ditanam menjelang 2030 sebagai simbolik kepada jumlah 2.2 juta penduduk Kedah, agar pokok-pokok yang ditanam dapat tumbuh subur serta memberi manfaat dalam jangka panjang.

Selain itu, memperkukuhkan kelestarian kawasan pertanian serta memberi manfaat kepada komuniti dan generasi akan datang.- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat