Identiti mayat wanita ditemukan dalam beg masih misteri

SUNGAI SIPUT – Identiti mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar pada 14 Ogos lalu masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya ditutup dan diikat sebelum dihanyutkan ke sungai.

Menurut beliau, semakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi berkaitan tidak menemukan sebarang rekod yang dapat membantu mengenal pasti mangsa.

Polis juga belum menerima laporan kehilangan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita berkenaan.

“Buat masa ini, beberapa spesimen mangsa telah dihantar kepada pihak forensik dan kita masih menunggu keputusannya.

“Mungkin akan mengambil sedikit masa kerana spesimen yang dihantar agak banyak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, hari ini.

Mohd Alwi berkata, polis akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol), bagi memperoleh maklumat lanjut mengenai identiti mangsa.

Media sebelum ini melaporkan paras Sungai Perak yang cetek membawa kepada penemuan mayat berkenaan selepas beg pakaian yang memuatkan mangsa terdampar di tengah sungai akibat tersekat pada aliran cetek.

Susulan penemuan itu, polis pada 19 Ogos lalu meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti wanita berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Alwi berkata polis akan menyiasat dakwaan kegiatan perjudian membabitkan beberapa premis di sekitar Taiping yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil sekiranya pemeriksaan mendapati kegiatan berkenaan masih dijalankan, termasuk di premis yang mempunyai lesen untuk perniagaan lain tetapi dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian.

“Kita mendapat maklumat ini melalui media sosial dan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Sekiranya pemeriksaan mendapati kegiatan itu masih berlaku, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad menerusi hantaran di Facebook membangkitkan dakwaan kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai beroperasi di beberapa lokasi sekitar Taiping.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat