Tugas Pemuda Umno pastikan Umno kekal relevan, pintu Rumah Bangsa dibuka lebih luas – Zahid

KUALA LUMPUR – Tugas besar Pemuda Umno hari ini ialah memastikan Umno kekal relevan dan mempunyai tempat dalam hati generasi baharu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu Presiden Umno itu menegaskan untuk menjayakan usaha berkenaan, Umno mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini lebih luas untuk mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam Umno, anak muda bukan sekadar pelengkap, tetapi pewaris perjuangan.

“Daripada kilang Pemuda Umno inilah saya belajar erti perjuangan, mengenal denyut nadi akar umbi dan memahami bahawa menjadi Pemuda bukan sekadar berada di barisan hadapan, tetapi bersedia memikul amanah ketika parti memerlukan tenaga, fikiran dan keberanian.

“Zaman berubah, begitu juga medan perjuangan. Jika dahulu cabarannya berbeza, hari ini Pemuda berdepan dunia yang bergerak pantas.. teknologi berkembang, cara fikir berubah dan suara generasi muda semakin rencam.

“Sebab itu keberanian sahaja tidak memadai. Ia mesti dipandu kebijaksanaan, disertai ilmu dan diterjemahkan melalui idea serta tindakan yang sesuai dengan peredaran zaman.

“Tugas besar Pemuda hari ini ialah memastikan Umno kekal relevan dan mempunyai tempat dalam hati generasi baharu. Untuk itu, kita mesti berani membuka pintu Rumah Bangsa ini lebih luas.. mendengar pandangan mereka, memberi ruang kepada bakat baharu dan membina keyakinan bahawa dalam Umno, anak muda bukan sekadar pelengkap, tetapi pewaris perjuangan.

“Terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh, barisan kepimpinan serta seluruh keluarga besar Pemuda Umno di setiap peringkat yang terus menghidupkan denyut perjuangan ini. Teruslah menyantuni anak muda dalam bahasa mereka, memahami keresahan dan membawa aspirasi mereka ke dalam perjuangan parti,” seru Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut Zahid, 77 tahun bukan sekadar angka. Ia adalah himpunan pengalaman, jatuh bangun dan pengajaran yang menjadi bekal untuk melangkah lebih jauh.

“Semoga Pemuda Umno terus menjadi tempat lahirnya keberanian yang berakal, idealisme yang berpijak di bumi dan pemimpin yang bersedia memikul amanah masa hadapan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat