KUALA LUMPUR – Polis bertindak menahan tiga orang lelaki berkaitan insiden menutup jalan raya awam untuk menjalankan perlumbaan haram yang tular di Lebuhraya Linkedua di Kulai, Johor Sabtu lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Kulai Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tangkapan dibuat susulan kesemua suspek dibuat di ibu negara untuk membantu proses siasatan lanjut.
“Kesemua tiga individu yang ditahan di Kuala Lumpur akan dibawa ke Mahkamah Kulai bagi permohonan perintah reman.
“Siasatan lanjut bagi kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Pada Ahad lepas, Polis Johor menahan reman lapan orang lelaki berumur 26 hingga 45 tahun termasuk seorang pempengaruh permotoran selama empat hari.
Kejdian yang tular berlaku pada kira-kira pukul 7 pagi melibatkan laluan jalan raya dari Kilometer 33 (Susur Tol Senai) hingga Kilometer 31 (Susur Johor Premium Outlet).
Ada video yang viral selama 33 saat menunjukkan beberapa orang sengaja menghalang laluan lebuh raya untuk memberi laluan kepada dua penunggang motosikal berlumba secara haram.
Dalam video berkenaan, mereka turut membakar mercun ketika perlumbaan tamat.



