72 individu jadi suspek kebakaran hutan Indonesia, polis buru dalang dan korporat

PONTIANAK – Polis Indonesia menetapkan 72 individu sebagai suspek dalam 89 kes kebakaran hutan dan tanah (karhutla) yang disiasat di sembilan wilayah, ketika negara itu berdepan peningkatan kejadian kebakaran susulan musim kemarau panjang dan fenomena El Nino.

Pengarah Tindak Pidana Tertentu (Tipidter) Bareskrim Polri, Brigedier Jeneral Mohammad Irhamni berkata, kesemua kes berkenaan bermula daripada laporan yang diterima dan disiasat pasukan polis di sembilan wilayah terbabit.

Menurut beliau, siasatan setakat ini mendapati pembakaran secara sengaja bagi membuka tanah untuk kegiatan pertanian dan perladangan menjadi antara modus operandi utama yang digunakan suspek.

Kaedah pembakaran dipilih kerana dianggap lebih murah dan mudah berbanding menggunakan kaedah lain untuk membersihkan kawasan.

“Sebahagian besar modus operandi yang digunakan oleh para suspek adalah membuka tanah dengan cara sengaja membakar supaya kos operasi kegiatan berkebun menjadi murah atau lebih ekonomik,” katanya seperti dipetik Kompas.com.

Siasatan mendapati pelaku lazimnya menebang tumbuhan atau pokok terlebih dahulu sebelum sisa tanaman dibakar bagi membersihkan kawasan yang mahu digunakan untuk kegiatan pertanian.

Selain menjimatkan kos pembersihan, abu daripada pembakaran juga dipercayai dianggap oleh pelaku mampu membantu menyuburkan tanah sebelum kawasan berkenaan ditanam dengan tanaman termasuk kelapa sawit.

Bagaimanapun, Irhamni menegaskan tindakan membakar tanah dalam keadaan kemarau panjang dan fenomena El Nino membawa risiko besar kerana api boleh merebak dengan pantas ke kawasan lain serta menjadi semakin sukar dikawal.

Keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan hutan dan tanah, malah boleh meningkatkan pencemaran udara dan risiko jerebu apabila kebakaran berlaku secara meluas.

Menurut Irhamni, tindakan penguatkuasaan bermula daripada pemantauan titik panas atau hotspot sebelum anggota polis dihantar ke lokasi bagi menentukan sama ada terdapat kebakaran sebenar.

Sekiranya kebakaran dikesan, anggota di lapangan akan memberi keutamaan kepada operasi memadamkan api dan melakukan proses penyejukan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.

Penyiasat kemudian menjalankan pemeriksaan tempat kejadian dan mengumpulkan bukti bagi menentukan punca kebakaran serta kemungkinan terdapat unsur jenayah.

Dalam siasatan yang dijalankan setakat ini, polis merampas pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pembakaran.

Antaranya ialah 35 pemetik api, sejumlah botol dan bekas berisi bahan api, 21 parang, dua kapak, cangkul serta dua unit gergaji rantai.

Penyiasat turut mengambil sampel tanah yang terbakar, anak pokok kelapa sawit serta batang kayu hangus untuk digunakan sebagai bahan bukti.

Irhamni berkata, penetapan seseorang sebagai suspek tidak hanya dibuat berdasarkan pengakuan individu berkenaan.

Sebaliknya, polis menggabungkan hasil pemeriksaan tempat kejadian, keterangan saksi, petunjuk dan barang bukti serta penelitian terhadap transaksi kewangan sebelum menentukan tindakan undang-undang.

Pada masa sama, Bareskrim kini memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat pihak lain yang berada di belakang kegiatan pembakaran tersebut.

Siasatan tidak hanya tertumpu kepada individu yang berada di lokasi ketika kebakaran berlaku, sebaliknya turut meneliti pihak yang mungkin memberi arahan, menyediakan pembiayaan atau memperoleh keuntungan daripada pembukaan tanah melalui kaedah pembakaran.

Aliran wang turut diperiksa bagi menentukan sama ada pembakaran dilakukan atas kepentingan suspek sendiri atau mempunyai hubungan dengan pihak lain.

Langkah itu turut membuka kemungkinan tindakan diambil terhadap syarikat atau korporat sekiranya terdapat bukti menunjukkan mereka terlibat, mengarahkan atau mendapat manfaat daripada pembakaran hutan dan tanah.

“Baik korporat ataupun individu akan kami lakukan pengejaran dan lakukan penegakan hukum secara tegas,” kata Irhamni.

Beliau berkata, polis akan terus mengembangkan siasatan berdasarkan bukti yang diperoleh dan tidak akan berhenti setakat menangkap individu yang melakukan pembakaran di lapangan.

“Kami akan terus mengejar semua pelaku atau orang yang menyuruh melakukan dan semua pihak yang memperoleh keuntungan atas kejahatan pembakaran hutan dan lahan tersebut,” katanya.

Tindakan tegas itu menurutnya penting bagi memberikan kesan pencegahan, khususnya ketika Indonesia berdepan musim kemarau yang meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah.

Kesemua suspek kini berdepan tindakan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang Indonesia termasuk undang-undang berkaitan perhutanan, perladangan, perlindungan dan pengurusan alam sekitar serta Kanun Keseksaan.

Sumber: Kompas.com

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat