KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 8 notis tawaran kompaun semalam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindutrian (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Iklan (WP) 1982 susulan operasi yang dijalankan pada 22 Ogos lepas.
DBKL dalam satu kenyataan berkata tindakan khas telah dilaksanakan terhadap premis-premis hiburan di sekitar kawasan Parlimen Kepong, Seputeh dan Bukit Bintang.
“Tindakan ini menyasarkan premis yang dikendalikan oleh warga asing, gagal mematuhi syarat lesen petempatan makanan, serta beroperasi tanpa lesen sah untuk mengadakan hiburan,” katanya.
Sebanyak 3 Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan turut dikeluarkan terhadap premis yang mengadakan hiburan tanpa lesen, katanya.
“Selain itu, 3 sitaan barangan berkaitan hiburan serta 1 penutupan premis dilaksanakan serta-merta,” menurut kenyataan berkenaan.
DBKL menegaskan penguatkuasaan sebegini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan semua premis perniagaan dan hiburan di Kuala Lumpur mematuhi undang-undang yang ditetapkan, demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut,” katanya.


