KANGAR, – Pendakwah dan tokoh politik, Dr Fathul Bari Mat Jahya menasihatkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya menghormati proses undang-undang dalam isu Kuil Bukit Lagi di Kangar, Perlis walaupun pertikaian berkenaan melibatkan rumah ibadat.
Menurut Fathul Bari, isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan prinsip hak milik tanah dan kedaulatan undang-undang, bukannya dijadikan pertikaian agama atau kaum.
Beliau berkata, berdasarkan Warta Kerajaan Negeri Perlis yang disiarkan pada 16 Januari 2020, Lot 8381 di Mukim Seriab telah dirizabkan sebagai taman rekreasi.
“Jika statusnya telah berubah, kemukakan carian rasmi terkini, geran, pajakan, Lesen Pendudukan Sementara, kebenaran merancang dan pelan bangunan yang diluluskan.
“Sentimen bukan bukti; dokumenlah jawapannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Fathul Bari berkata, tindakan terhadap binaan yang dipertikaikan itu juga tidak sewajarnya dianggap sebagai usaha menyekat kebebasan beragama atau menafikan hak masyarakat Hindu.
Menurutnya, terdapat rumah ibadat bukan Islam yang sah di Perlis dan terus beroperasi tanpa gangguan, termasuk sebuah kuil yang terletak berhampiran lokasi berkenaan.
Beliau turut merujuk Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama, namun menegaskan bahawa pemerolehan, pemilikan dan pentadbiran harta tetap tertakluk kepada undang-undang.
“Hak beragama bukan hak automatik untuk memiliki atau menduduki mana-mana tanah,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari mempertikaikan tindakan Rayer yang didakwanya menggunakan label seperti “rasis”, “angkuh” dan “ancaman kepada kemajmukan” terhadap Kerajaan Negeri Perlis berhubung isu tersebut.
Katanya, dakwaan sedemikian perlu disokong dengan bukti bahawa tindakan kerajaan negeri dibuat atas faktor agama atau terdapat layanan berbeza terhadap kes lain yang mempunyai kedudukan undang-undang sama.
“Jika gagal, label ‘rasis’ hanyalah tabir politik untuk menutup dua soalan asas: tanah itu milik siapa dan di manakah kelulusannya?” katanya.
Bagaimanapun, Fathul Bari mengakui tindakan penguatkuasaan yang melibatkan rumah ibadat perlu dilaksanakan secara cermat dan mengikut proses sewajarnya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga wajar memperincikan notis, rundingan serta kronologi tindakan bagi mengelakkan isu berkenaan dieksploitasi sehingga mencetuskan sentimen agama dan kaum.
“Berhemah tidak bermakna penguatkuasaan mesti dilumpuhkan atau pendudukan tanpa kebenaran dibiarkan selama-lamanya,” katanya.
Fathul Bari turut membangkitkan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menurutnya sebelum ini menegaskan semua rumah ibadat perlu mematuhi peraturan dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa prinsip sama dianggap bersifat perkauman apabila tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perlis.
“Jika prinsip itu tidak dianggap rasis apabila ditegaskan Kerajaan Persekutuan, atas asas apa ia menjadi rasis apabila dikuatkuasakan di Perlis?” soalnya.
Beliau berkata penghormatan terhadap penganut dan rumah ibadat Hindu perlu dipertahankan, namun pada masa sama hak pemilikan tanah serta proses undang-undang juga tidak boleh diketepikan.
“Keadilan bukan pengecualian atas nama agama; keadilan ialah undang-undang dan proses yang sama untuk semua,” katanya.



