JOHOR BAHRU – Sebanyak 13,450 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari 2025 hingga 31 Julai lalu, melibatkan lebih 2.19 juta peserta dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap ancaman dan risiko di ruang digital.
Usaha itu diteruskan menerusi Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di sini hari ini dan dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Konvensyen anjuran Yayasan GoStrong Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menghimpunkan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru, penjaga, agensi kerajaan serta komuniti.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesedaran dan tindakan bersama bagi melindungi kanak-kanak daripada pelbagai risiko digital termasuk buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
Menurut kenyataan penganjur, perkembangan pesat dunia digital menjadikan peranan ibu bapa, sekolah dan komuniti semakin penting dalam membentuk generasi muda yang bijak, selamat, beretika dan bertanggungjawab ketika menggunakan Internet.
Sejajar dengan usaha itu, Kementerian Komunikasi menerusi MCMC terus mempergiat pelaksanaan Kempen Internet Selamat di seluruh negara sejak Januari 2025.
Sehingga 31 Julai 2026, kempen berkenaan telah menjangkau lebih 2.19 juta peserta terdiri daripada murid, guru, ibu bapa serta komuniti daripada pelbagai latar belakang.
Konvensyen di Johor turut menampilkan dua sesi perkongsian berkaitan Kempen Internet Selamat serta dua forum bertemakan “Hentikan Buli Siber” dan “Penipuan Dalam Talian”.
Sesi berkenaan membincangkan ancaman digital semasa, langkah pencegahan serta saluran bantuan yang tersedia bagi memastikan pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan, lebih bersedia menghadapi risiko di ruang digital.
Peserta turut didedahkan kepada kepentingan literasi digital, keselamatan dalam talian serta amalan penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab dalam usaha mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan remaja.
Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor merupakan siri keempat penganjuran program berkenaan dan akan diteruskan di Sabah serta Sarawak.
Penganjuran itu mencerminkan usaha berterusan Yayasan GoStrong Malaysia dan MCMC memperluas pendidikan keselamatan digital serta memperkukuh perlindungan kanak-kanak menerusi kerjasama antara keluarga, sekolah, komuniti dan pihak berkepentingan.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Stulang, Andrew Chen Kah Eng; Pengarah Kanan Wilayah Selatan MCMC, Ts. Rizal Abd Malek; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Khairul Anwar Sharin dan Pengarah Yayasan GoStrong Malaysia, Mohd Faizal Othman.


