Harga saham Genting merosot, perubahan selera pengguna muda kepada permainan atas talian turut beri kesan

KUALA LUMPUR – Harga saham Genting Berhad (Genting) menyusut hampir enam peratus selepas prestasi kewangan suku kedua (S2) syarikat itu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan penganalisis.

Saham syarikat itu turun 13 sen atau 5.8 peratus kepada RM2.11 sesaham, dengan lebih 9.38 juta unit saham bertukar tangan. Ini menjadikan nilai pasaran syarikat berjumlah kira-kira RM8.18 bilion.

Sejak awal tahun hingga kini, harga saham Genting telah susut sebanyak 87 sen atau 29.2 peratus daripada paras RM2.98.

Anak syarikat yang dimiliki 74 peratus iaitu Genting Malaysia Bhd turut tidak terkecuali, apabila harganya turun tiga sen atau 1.7 peratus kepada RM1.70 sesaham.

Kejatuhan ini berlaku selepas syarikat merekodkan penurunan hampir 90 peratus dalam keuntungan bersih S2 — iaitu hanya RM47.4 juta, berbanding RM416.6 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, Genting sendiri kini merekodkan kerugian bersih berjumlah RM27 juta, berbanding keuntungan RM243.5 juta tahun lepas walaupun hasil pendapatan sebenarnya naik kepada RM7.75 bilion daripada RM6.78 bilion.

Syarikat menyifatkan penurunan prestasi itu berpunca terutamanya daripada kerugian penukaran mata wang asing, serta peningkatan kos pembiayaan dan kos operasi.

Penganalisis Public Investment Bank Bhd (PublicInvest), Eltricia Foong menyatakan prestasi kedua-dua syarikat itu adalah jauh di bawah jangkaan.

Keadaan ini menyebabkan pihaknya terpaksa menurunkan unjuran pendapatan bagi Genting dan Genting Malaysia untuk tahun kewangan 2026 hingga 2028 (TK26–28) dengan purata masing-masing sebanyak 18 peratus dan 11 peratus.

“Persekitaran operasi bagi industri hiburan dan perhotelan kekal mencabar, berikutan ketegangan geopolitik yang mengehadkan permintaan pelancongan serta menaikkan kos operasi,” katanya.

PublicInvest mengekalkan penarafan “Neutral” (Berhati-hati) bagi kedua-dua saham, dengan harga sasaran RM2.35 untuk Genting dan RM1.73 untuk Genting Malaysia.

Foong menjelaskan walaupun pendapatan dijangka pulih secara berperingkat, prospek pertumbuhan masih kurang jelas.

Ketegangan geopolitik dan kelancaran ekonomi yang lebih perlahan berkemungkinan terus memberi kesan kepada industri perhotelan dan hiburan dunia.

Beliau turut menjangkakan kos operasi akan terus naik pada separuh kedua TK26 akibat kenaikan kos tenaga.

“Kami tidak menjangkakan operasi di Amerika Syarikat akan menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat, memandangkan keadaan pasaran pekerjaan dan keyakinan pengguna yang semakin lemah,” ujarnya.

Antara perkara yang menjadi perhatian penganalisis ialah tahap hutang Genting yang dilihat semakin tinggi, terutamanya berikutan komitmen modal yang sangat besar oleh anak syarikat iaitu Genting Malaysia dan Genting Singapore, bagi projek pembangunan di Resorts World New York City dan Resorts World Sentosa.

Mengenai projek kasino di New York, Foong berkata pengembangannya sepenuhnya berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan pada masa hadapan, namun tidak dijangka memberi pulangan dalam tempoh satu hingga dua tahun ini memandangkan kos projek yang mencecah AS$5.5 bilion.

Resorts World New York City sudah pun memulakan operasi pada 28 April lalu lebih awal daripada pesaing yang dilihat boleh meningkatkan hasil kasino.

Namun, tekanan inflasi di AS dijangka terus menaikkan kos operasi.

Selain itu, Foong turut memberi amaran bahawa perubahan selera pengguna terutamanya minat golongan muda yang semakin beralih kepada permainan dalam talian berbanding kasino fizikal boleh memberi kesan langsung kepada prospek pertumbuhan jangka panjang Genting Malaysia.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat