KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, sebarang kerjasama politik mesti diangkat ke Majlis Syura Ulama.
Tuan Ibrahim menyatakan demikian mengulas mengenai keterbukaan Pakatan Harapan (PH) menjalin hubungan dengan mana-mana parti atas prinsip ‘kestabilan politik dan kepentingan rakyat’.
Mengulas lanjut kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari itu semalam, Tuan Ibrahim berkata Pas ketika ini menumpukan usaha membina kekuatan Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan PRN Melaka.
“Sebarang kerjasama politik mesti diangkat ke Majlis Syura Ulama. Manakala, dalaman PN ia mesti diputus dalam mesyuarat PN.
“Buat masa ini kita lebih memberi fokus membina kekuatan PN menghadapi PRN Melaka,” katanya menurut FMT, pada Selasa.
Jumaat lalu, dilaporkan PH Selangor diketuai Amirudin tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Bersatu, terutama di negeri tersebut.
Jajaran itu dipercayai untuk memastikan dua parti berkenaan terus relevan dan kuat dalam menghadapi PRU akan datang, termasuk PRN Melaka.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim enggan mengulas lanjut kesediaan PH Selangor bekerjasama melibatkan Bersatu, yang masih menjadi komponen PN.
“Soal Bersatu (nak kerjasama dengan PH) terpulang kepada mereka untuk menerima atau sebaliknya,” katanya.


