PUTRAJAYA – Keadaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah semakin pulih selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopo untuk merawat hernia perut dan akan terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Ahli Parlimen Tambun itu memohon maaf tidak dapat hadir bersama di Dewan Rakyat untuk Sidang Khas membahaskan laporan RCI Tabung Haji dan mendoakan agar persidangan berjalan dengan baik.
“Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar dijangka menjalani prosedur perubatan selama dua hari.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran yang ke-79 semalam.
Sidang khas ini dicadangkan sendiri oleh Anwar sebelum ini untuk membentang dan meneliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu bagi merungkai isu tadbir urus serta memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji.



