Oleh Zihan Zari
JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengambil langkah proaktif memperkasakan literasi digital dalam kalangan generasi muda melalui penganjuran Program Transformasi Smart Lab@School di Makmal Komputer Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, dekat sini, baru-baru ini.
Program khidmat masyarakat (CSR) anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) dengan kerjasama Kelab Makers JTMK POLIMAS itu menyaksikan penglibatan seramai 91 orang pelajar dan 10 orang guru dari SMK Paya Kemunting.
Pengarah Program, Noraini Mohd Banua berkata, program ini bukan sahaja tertumpu kepada menaik taraf kemudahan fizikal makmal komputer, malah menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu serta kemahiran digital bersama komuniti sekolah.
Menurutnya, melalui program ini, warga POLIMAS berpeluang mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam situasi sebenar, di samping membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran digital yang lebih kondusif dan selamat.
“Kami berharap pendedahan berkaitan keselamatan siber serta laluan kemasukan ke POLIMAS dapat meningkatkan kesedaran dan menarik minat pelajar untuk meneroka bidang TVET serta teknologi maklumat,”katanya.
Sepanjang program berlangsung pelbagai aktiviti penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk penyelenggaraan komputer, pembersihan perkakasan, pengemaskinian perisian, serta pemeriksaan rangkaian bagi memastikan makmal berada dalam keadaan efisien.
Bagi memastikan keselamatan aset sekolah terpelihara, pihak POLIMAS turut menyumbang dan memasang satu set sistem kamera litar tertutup (CCTV) di makmal berkenaan.
Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan Taklimat Cybersecurity Awareness menerusi slot Pemerkasaan Digital Komuniti yang mengupas isu ancaman siber semasa, langkah pencegahan, serta amalan penggunaan teknologi secara beretika.
Pada masa sama, Pengetua SMK Paya Kemunting, Hamidatun Md Zain turut menzahirkan ucapan penghargaan atas usaha murni pihak POLIMAS yang memberikan impak besar kepada warga sekolah.
Beliau berkata program ini memberikan manfaat yang besar kepada warga sekolah dan membantu menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selamat, ceria dan kondusif. Pihak sekolah berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Pelajar Tingkatan 4SN1, Muhamad Anas Rusli berkata taklimat yang disampaikan membuka matanya tentang kepentingan melindungi data peribadi daripada ancaman jenayah siber seperti penipuan dalam talian.
“Selepas mengikuti taklimat ini, saya lebih memahami cara melindungi maklumat peribadi dan menggunakan internet dengan lebih selamat.
“Saya juga semakin berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang teknologi maklumat di POLIMAS,”katanya.
Program ini turut memberi ruang kepada 23 orang pelajar POLIMAS sendiri untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerja berpasukan, selain dapat berkomunikasi sepanjang mengendalikan aktiviti bersama komuniti sekolah terbabit.-SUARA.TV



