BANGI – Nilai eksport agrikomoditi Malaysia ke India meningkat lebih 50 peratus pada suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan India semakin penting sebagai pasaran bagi produk agrikomoditi negara, sementara China kekal sebagai antara pasaran utama, khususnya untuk sektor hiliran dan produk bernilai tambah.
Menurutnya, prestasi sektor agrikomoditi pada awal tahun ini turut menunjukkan perkembangan positif apabila eksport produk berasaskan komoditi membawa masuk RM41.62 bilion kepada negara.
Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi sektor komoditi dan industri berasaskan komoditi pula meningkat kepada RM19.65 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM18.95 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, prestasi sektor agrikomoditi dalam tempoh awal tahun ini memberikan kita sebab untuk terus yakin.
“Tetapi saya tidak mahu kita terlalu lama meraikan angka kerana angka yang besar membawa tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ogos dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini.
Noraini berkata, peningkatan eksport perlu diterjemahkan kepada penciptaan lebih banyak nilai dalam negara, manakala pertumbuhan produktiviti perlu membawa peningkatan pendapatan kepada pekebun kecil dan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Apabila pasaran baharu dibuka, kita perlu memastikan lebih ramai pemain industri, usahawan dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada peluang tersebut.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan kita,” katanya.
Menurut Noraini, ketidaktentuan ekonomi global, konflik geopolitik, perubahan kos logistik, perkembangan dasar perdagangan dan tuntutan kelestarian memerlukan KPK bertindak lebih pantas dalam mempertahankan pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu.
Katanya, usaha memperluas pasaran juga perlu berjalan seiring pembangunan industri hiliran supaya Malaysia tidak hanya bergantung kepada eksport bahan mentah.
Dalam pada itu, KPK akan terus memperkukuh Program Biodiesel Negara dan pembangunan industri biobahan api sebagai sebahagian daripada agenda tenaga, teknologi dan ekonomi masa hadapan.
Potensi minyak masak terpakai turut diberikan perhatian sebagai bahan mentah untuk pembangunan bahan api mampan, termasuk Bahan Api Penerbangan Lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF).
“Sektor agrikomoditi hari ini bukan lagi hanya mengenai hasil ladang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada agenda tenaga, teknologi, kelestarian dan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Dalam aspek teknologi, Noraini berkata MPOB memperkenalkan sembilan teknologi baharu menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB 2026.
MPOB turut membangunkan Sawit Intelligent Management System dan GeoSAWIT untuk memperkukuh kebolehkesanan industri dalam memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, pasaran dunia bukan sahaja mahu mengetahui produk yang dijual, tetapi turut memberikan perhatian kepada sumber, kaedah pengeluaran, kemampanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan.
“Penyelidikan, digitalisasi dan teknologi bukan lagi perkara sampingan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada daya saing kita,” katanya.
Noraini menegaskan bahawa kemerdekaan ekonomi sebenar menuntut Malaysia menguasai lebih banyak bahagian dalam rantaian nilai, daripada penyelidikan dan teknologi kepada produk serta jenama tempatan yang dihormati di peringkat dunia.


