Rauf mahu rundingan persefahaman politik ibarat `bernikah biar berkadi, bersaksi’ bukan cuma di media sosial

KUALA LUMPUR – Rundingan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak semestinya dimuktamadkan sebagai rakan kongsi sejati.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beberapa faktor akan diambil kira pada perbincangan itu kelak, terutama yang memberi kelebihan kepada BN seperti sudut kekuatan, kelemahan serta kelebihan selain mengukur daripada pelbagai sudut bagaimana untuk membantu sesuatu parti gabungan itu untuk menang di kerusi yang ditandinginya.

Justeru, Ketua Menteri Melaka itu berkata beliau terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti menerusi perbincangan yang lebih formal berbanding di media sosial yang tiada jalan penyelesaiannya.

“Mana-mana parti yang menyimpan hasrat untuk bersama (dalam PRN), saya akan buatkan satu ruang yang terbuka untuk berunding.

“Tak semestinya rundingan itu dimuktamadkan menjadi rakan kongsi yang baik, (kerana) banyak faktor untuk kita menjadikan seseorang itu sebagai rakan kongsi kita kerana melalui konsep BN Plus yang diperkenalkan sebelum ini, akan menghasilkan satu gabungan politik yang cukup baik pada Melaka.

“Saya tegaskan, kita jangan buat rumusan dalam apa jua perbincangan yang tidak rasmi. Kali ini, biarlah kerjasama kita ibarat `bernikah biar berkadi, biar bersaksi’,” katanya selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) lapor BH di Ayer Keroh pada Isnin.

Kelmarin, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata gabungan parti itu masih membuka ruang rundingan pengagihan, malah juga pertukaran kerusi, untuk menghadapi PRN Melaka akan datang, asalkan dibuat secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, ketika menekankan perkara itu berkata prinsip asas rundingan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu saja kepada rakan politik.

Ab Rauf berkata, setakat ini belum ada mana-mana parti menemuinya atau Presiden Umno untuk mengadakan rundingan mengenai persefahaman politik itu.

Mengulas kenyataan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut berminat mengadakan rundingan itu, beliau berkata BN mengalu-alukannya, namun menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dari sudut moral berikutan tindakan gabungan parti berkenaan yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bulan lalu.

“Saya tak buat keputusan apa-apa pun, yang pastinya pada sudut moral, terserahlah pada pandangan (pengundi) dan kita tidak buat keputusan siapa juga sekali pun (boleh sertai rundingan). Pastinya kita mempunyai pilihan kita yang tersendiri,” katanya.

Ditanya tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab Rauf berkata “bila buah masak, baru kita tuai”.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat