Kerajaan Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia guna kapal

KUALA LUMPUR – Kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan membawa pulang kira-kira 5,000 pelarian negara itu yang kini berada di Malaysia menggunakan kapal.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dinyatakan Menteri Luar Myanmar ketika pertemuan dengannya baru-baru ini, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan serta melalui proses saringan terlebih dahulu.

“Semasa saya bertemu dengan Menteri Luar yang baru di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 ini dengan kapal. Tetapi isunya ialah keselamatan 5,000 orang ini.

“Apakah apabila kita menghantar mereka balik, mereka selamat ataupun apa akan terjadi? Itu perlu juga difikirkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari ASEAN Ke-59, lapor Utusan di Putrajaya pada Isnin.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan data awal jumlah pelarian Myanmar menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menjelang suku keempat tahun ini.

Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan proses pengumpulan data berkenaan bersama pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kementerian Luar (KLN) hanya akan bertindak sebagai fasilitator dalam proses penghantaran pulang berkenaan selepas keputusan dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa Myanmar.

Katanya, kira-kira 5,000 pelarian berkenaan telah dikenal pasti pihak Malaysia untuk dibawa pulang ke negara asal, namun tiada tempoh masa khusus ditetapkan setakat ini.

“Tak ada time frame, tetapi kena buat segeralah. Terpulang. Dan dia (Myanmar) kena buat saringan.

“Tetapi yang 5,000 orang ini memang sudah dikenal pasti oleh pihak Malaysia bahawa mereka perlu dibawa balik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, isu pelarian dari Myanmar tidak seharusnya hanya dilihat daripada sudut etnik Rohingya kerana terdapat pelbagai kumpulan etnik lain dari negara berkenaan yang turut menjadi pelarian.

Katanya, antara kumpulan berkenaan termasuk etnik Chin dan Karen.

“Ini merupakan masalah dalaman negara dan kita bukan bercakap berkenaan pelarian Rohingya. Kita bercakap tentang pelarian dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia melihat isu berkenaan sebagai perkara yang perlu diuruskan secara bersama dalam kerangka ASEAN kerana krisis pelarian Myanmar turut memberi kesan kepada negara anggota lain.

Katanya, pendekatan ASEAN centrality penting dalam menangani isu Myanmar kerana masalah yang berlaku di negara itu bukan hanya isu dalaman, sebaliknya turut memberi implikasi terhadap keselamatan dan kestabilan rantau.

Mohamad berkata, pendekatan ‘perkongsian tanggungjawab’ ASEAN dalam menangani isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan pembahagian tanggungjawab menerima pelarian, tetapi termasuk usaha bersama memberikan tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan keganasan terhadap rakyatnya.

“ASEAN memberikan tekanan kepada negara Myanmar untuk mereka menghentikan keganasan terhadap rakyat mereka, supaya tidak ada lagi pelarian baharu keluar.

“Dan mereka yang ada di luar, bukan sahaja di Malaysia tetapi banyak juga di negara lain termasuk Bangladesh, dapat kembali semula,” katanya.

Menurut beliau, aspek paling penting sebelum proses penghantaran pulang dilakukan ialah memastikan keselamatan di Myanmar terlebih dahulu.

Katanya, penghantaran pulang tanpa jaminan keselamatan dikhuatiri hanya menyebabkan pelarian berkenaan keluar semula dari negara itu.

“Yang pentingnya adalah keselamatan dalam negara Myanmar itu sendiri perlu ada dulu supaya mereka ini tidak dihantar balik, kemudian keluar balik. Tak guna juga. Itulah yang kita nak lihat,” katanya menurut akhbar itu lagi.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Konsensus Lima Perkara perlu terus menjadi teras mekanisme ASEAN dalam menangani krisis Myanmar.

Katanya, sebarang perubahan terhadap konsensus berkenaan perlu dibincangkan semula dan diputuskan oleh ketua-ketua negara ASEAN.

Beliau berkata, Menteri-Menteri Luar ASEAN kini diberikan tugasan oleh pemimpin negara anggota ketika pemukiman ketua-ketua negara ASEAN di Cebu baru-baru ini untuk menilai perkembangan terkini serta tindakan yang perlu diambil, khususnya berkaitan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

“Yang kita mahu lihat ialah terus memberi tekanan kepada Myanmar untuk mereka menguatkuasakan ataupun melaksanakan konsensus tersebut supaya keamanan dalam Myanmar itu dapat dipulihkan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat