Presiden Pas tiada kuasa veto singkir Bersatu dari PN – Azmin akan adukan ke ROS

KUALA LUMPUR -Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) telah tergugur dengan sendiri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Perikatan Nasional.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali menegaskan, tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan Perikatan Nasional yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota tergugur dengan sendirinya.

“Kedudukan Bersatu sebagai parti anggota Perikatan Nasional hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan Perikatan Nasional.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Justeru, Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah,” kata Azmin dalam kenyataan pada Jumaat.

Adun Hulu Klang itu menyatakan, Presiden Pas tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan Perikatan Nasional.

“Setiap parti anggota Perikatan Nasional mempunyai hak-hak yang termaktub di bawah Fasal 7 Perlembagaan Perikatan Nasional. Fasal 7.1 memperuntukkan seperti berikut: “Setiap Parti Anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri,
memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Badan Perhubungan Kawasan masing-masing”.

“Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai 2026 yang membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah bercanggah dengan
Perlembagaan Perikatan Nasional,” bidas Azmin.

Susulan itu, Azmin menegaskan bahawa Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini.

“Perikatan Nasional yang dikuasai oleh Pas tidak lagi menjunjung Perlembagaan Perikatan Nasional, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, bertindak secara semberono dan tidak demokratik.

“Bersatu bertegas akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat