Selepas Anwar bersara dari politik, Izzah ada peluang berkhidmat tanpa dibebani ‘albatros’ – Ramasamy

KUALA LUMPUR – Mungkin suatu hari nanti, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi berada dalam gelanggang politik, Nurul Izzah akan berpeluang berkhidmat kepada rakyat tanpa dibebani oleh “albatros” hubungan kekeluargaan yang selama ini membayangi perjalanan politiknya.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) Prof Dr P Ramasamy berkata, walaupun beliau menghormati keputusan Nurul Izzah untuk mengambil masa bagi melanjutkan pelajaran atau mendalami aspek-aspek yang lebih asas dalam usaha berkhidmat kepada rakyat, Timbalan Presiden PKR itu juga tidak seharusnya melupakan tuntutan politik yang lebih besar.

“Dalam keadaan politik yang lebih sesuai pada masa hadapan, saya berharap beliau akan kembali untuk terus berkhidmat kepada negara.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan semoga berjaya kepada Nurul,” ujar Ramasamy.

Mengulas lanjut perkembangan semasa itu Ramasamy berkata, Nurul Izzah, Timbalan Presiden PKR dan individu yang secara meluas dijangka akan menggantikan bapanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa beliau akan berundur buat sementara waktu bagi melanjutkan pelajaran.

“Apakah bentuk pengajian yang akan beliau ikuti masih belum jelas, selain daripada kenyataan bahawa ia berkaitan dengan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat. Pengajian yang berkaitan dengan khidmat kepada rakyat boleh membawa pelbagai maksud, daripada mengikuti kursus akademik hinggalah kepada menilai semula strategi politiknya untuk masa depan.

“Kenaikan beliau ke jawatan nombor dua dalam parti sebahagian besarnya berpunca daripada hakikat bahawa bapanya tidak lain dan tidak bukan ialah Anwar Ibrahim. Tanpa sokongan tersirat daripada Anwar, hampir mustahil beliau dapat mencabar dan menewaskan calon yang ketika itu lebih popular, Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Persepsi wujudnya layanan istimewa daripada Anwar inilah yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli PKR, sehingga membawa kepada penubuhan parti politik baharu, Bersama, yang diterajui oleh Rafizi bersama rakan-rakannya yang keluar daripada PKR.

“Walaupun Nurul merupakan tokoh yang popular dalam kalangan penyokong gerakan reformasi, kenaikannya ke jawatan nombor dua parti telah sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya.

“Saya berpendapat bahawa sejak saat itu, selain daripada beberapa kemunculan awam sekali-sekala, Nurul semakin mengurangkan penglibatannya secara aktif dalam parti.

“Pada pandangan saya, beliau tidak sepatutnya mencabar Rafizi kerana beliau sendiri sedar bahawa pertandingan tersebut tidak berlangsung di atas padang yang sama rata.

“Anwar telah melakukan kesilapan besar apabila menggalakkan Nurul bertanding menentang Rafizi. Sekiranya pertandingan itu tidak berlaku, PKR mungkin tidak akan berpecah seperti yang berlaku hari ini.

Nurul bukan lagi individu yang dinamik seperti sebelum pemilihan parti PKR. Beliau sendiri sedar bahawa kemenangannya bukan semata-mata kerana keupayaannya sendiri, tetapi juga disebabkan pengaruh bapanya,” katanya.

Selepas pemilihan parti Ramasamy mendakwa, kepimpinan PKR menerima kritikan dan menjadi bahan sindiran kerana didakwa mengamalkan nepotisme dan pilih kasih.

“Sebagai seorang yang bijaksana dan mempunyai masa depan politik yang cerah, Nurul tentunya turut terkesan dengan keadaan tersebut.

“Sama ada beliau benar-benar akan memberi tumpuan kepada pengajian, mengambil masa untuk merenung persoalan-persoalan besar dalam politik Malaysia, ataupun melakukan kedua-duanya sekali, masih belum dapat dipastikan.

“Walaupun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Anwar, masa depan politik Nurul tidak seharusnya dianggap sudah berakhir.

“Tidak dapat dinafikan bahawa beliau telah memberikan sumbangan yang besar kepada gerakan reformasi ketika Anwar masih dipenjarakan. Saya sendiri pernah bertemu Nurul beberapa kali semasa saya berkhidmat dalam kerajaan negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat