KUALA LUMPUR – Kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai ahli Perikatan Nasional (PN) tergugur dengan sendiri apabila Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membentuk gabungan baharu.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berdasarkan Perlembagaan parti itu yang mana apabila ahlinya menyertai gabungan lain, maka ia terkeluar daripada PN.
“Dia (Bersatu) sudah membuat kenyataan hendak tubuh satu pasukan lain, dengan sendirinya automatik dia keluar daripada PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, lapor Utusan di Marang pada Jumaat.
Bulan lalu, Muhyiddin dilapor memaklumkan Bersatu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Bersatu itu berkata, gabungan baharu berkenaan antara lain turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Hadi berkata, PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukannya dalam gabungan tersebut kerana parti itu keluar dengan sendiri apabila membuat kenyataan berkenaan.
“Saya saya tidak perlu surat rasmi. Perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” tegasnya.


