KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa gaya kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan tanda tanya dan berpotensi menggagalkan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu hantaran di Facebook, Zaid berkata beliau bimbang dengan cara Zahid mengendalikan beberapa isu kebelakangan ini sehingga boleh menjejaskan usaha memperkukuh kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.
Beliau mempersoalkan layanan Zahid terhadap Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, yang menurutnya memainkan peranan besar mengetuai kempen BN di Negeri Sembilan sehingga berjaya menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimana Jalaluddin, yang mengetuai kempen sehingga berjaya menewaskan Menteri Besar dan pimpinan negeri PH, akhirnya tidak dipilih sebagai Menteri Besar?” soalnya.
Zaid berkata, jika terdapat sebab tertentu di sebalik keputusan itu, Zahid sepatutnya menjelaskannya secara terbuka dan berhemah bagi mengelakkan pelbagai spekulasi.
Beliau turut mengkritik tindakan Zahid yang didakwa menggelarkan bekas Presiden Dewan Negara, Rais Yatim sebagai “nyanyuk” selepas tokoh veteran itu mempersoalkan keputusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurut Zaid, kenyataan sedemikian tidak wajar ditujukan kepada seorang pemimpin yang telah lama berkhidmat kepada negara dan UMNO.
“Rais seorang yang bijak, berpengalaman dan memahami politik. Beliau bukan nyanyuk atau mengalami delusi,” katanya.
Tambah beliau, Zahid sepatutnya memilih pendekatan lebih matang dengan bertemu dan berbincang secara tertutup dengan Rais sekiranya terdapat perbezaan pandangan.
Dalam hantaran sama, Zaid turut mengimbas tindakan Zahid yang meminta Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor meninggalkan Negeri Sembilan ketika kempen pilihan raya negeri baru-baru ini.
Menurutnya, Zahid bernasib baik kerana pimpinan PAS tidak bertindak balas secara berlebihan terhadap kenyataan tersebut.
Beliau mengingatkan bahawa kejayaan kerjasama BN-PN memerlukan sikap saling menghormati antara semua pemimpin, tanpa mengira parti.
“Jangan lupa, perpaduan Melayu bukan sahaja penting untuk menyelamatkan negara, malah juga penting untuk memastikan UMNO terus relevan,” katanya.



