Adun Bersatu sambut baik Ahli Sunnah Wal Jamaah jadi pegangan rasmi Selangor – Azmin

KUALA LUMPUR -Adun-Adun Bersatu Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor memperkukuhkan institusi Islam dan mengembangkan syiar Islam di Negeri Selangor.

Adun Hulu Kelang Datuk Seri Azmin Ali berkata, persidangan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan ke-15 yang bermula pada 3 Ogos 2026 telah membahaskan dan meluluskan 3 Rang Undang-undang (RUU) yang amat penting.

Menurut Azmin, RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 memberi pengiktirafan secara jelas bahawa agama Islam di Negeri Selangor adalah mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jelas beliau, pindaan ini selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

“Pindaan ini bertujuan mengukuhkan pemakaian pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai rujukan dalam penggubalan dan pelaksanaan undang-undang Syariah di Negeri Selangor.

“Bahagian kedua pindaan RUU ini adalah mewujudkan suatu Bab baharu bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah dengan memberikan pengiktirafan perlembagaan Negeri sebagai sebuah institusi kehakiman Syariah Negeri Selangor supaya tidak dilihat sebagai sebuah institusi yang diwujudkan melalui undang-undang pentadbiran agama semata-mata.

“Pindaan ini memperuntukkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah bagi memastikan sistem keadilan Syariah dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, berkesan dan selaras dengan perkembangan semasa.

“RUU ini telah diluluskan dengan sokongan undi lebih dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Dewan Negeri termasuk Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bukan Islam.

“Ini membuktikan bahawa penetapan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor tidak menjejaskan hak atau kedudukan mana-mana penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Azmin dalam kenyataan media pada Khamis.

Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, parti itu bersyukur di atas kejayaan ini.

“Bersatu telah memberi dukungan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk terus mengukuhkan institusi agama Islam dan institusi kehakiman Syariah. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti dilaksanakan bagi menjamin sistem pentadbiran dan keadilan Syariah berpaksikan prinsip keadilan dan integriti yang diyakini oleh umat Islam.

“RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 merupakan suatu pembaharuan institusi yang signifikan bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai sebuah institusi kehakiman yang bebas, berwibawa, berintegriti dan diyakini.

“Sokongan Bersatu mencerminkan iltizam bersama untuk membina sebuah sistem penyampaian keadilan Syariah yang lebih mantap, moden dan berwibawa demi kepentingan umat Islam serta kemajuan Negeri Selangor. RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pula merupakan satu langkah yang penting dalam usaha memperkukuhkan sistem pentadbiran agama Islam di Negeri Selangor.

“Bersatu berpendirian undang-undang hendaklah sentiasa berkembang seiring dengan keperluan pentadbiran dan perkembangan semasa supaya kekal relevan, responsif dan mampu menjadi asas kepada pentadbiran agama Islam yang lebih mantap serta memenuhi keperluan umat Islam.

“Tahniah kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang telah mengambil tanggungjawab untuk mengadakan sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran dalam pentadbiran agama Islam dan perundangan syariah,” ucap beliau.

Tambah Azmin lagi, Adun-Adun Bersatu Selangor akan terus berusaha mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor demi menjamin kestabilan dan kemakmuran sebuah negeri yang subur dengan kemajmukan dan rakyat yang cintakan perpaduan.

“Adun-Adun Bersatu Selangor sentiasa menjunjung titah perintah dan titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri yang mempunyai kedudukan dan kuasa dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat