Riyadh Air pilih Kuala Lumpur sebagai destinasi sulung di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan nasional Arab Saudi, Riyadh Air, memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi sulungnya di Asia Tenggara menerusi penerbangan terus dari Riyadh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketibaan penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid itu membuka lembaran baharu dalam kerjasama pelancongan dan penerbangan antara Malaysia dengan Arab Saudi.

Laluan Riyadh-Kuala Lumpur akan beroperasi tiga kali seminggu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang mampu membawa sehingga 290 penumpang bagi setiap penerbangan.

Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, perkhidmatan berjadual itu bukan sahaja meningkatkan akses terus antara kedua-dua negara, malah dijangka memperkukuh pertukaran dalam sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Penerbangan berkenaan disambut dalam satu acara khas di KLIA yang dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa serta Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia dan Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi.

Turut hadir barisan pengurusan kanan Riyadh Air dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, pemilihan Malaysia sebagai destinasi pertama Riyadh Air di Asia Tenggara merupakan pencapaian penting bagi strategi pelancongan negara.

“Keputusan penting ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan keyakinan besar terhadap Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia.

“Hubungan terus ini akan menjadi asas kepada usaha memenuhi perubahan permintaan pelancong Timur Tengah serta memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan mereka,” katanya.

Menurut Tourism Malaysia, Arab Saudi merupakan antara pasaran pelancongan bernilai tinggi yang penting bagi Malaysia di Asia Barat.

Pelancong dari negara itu dikenal pasti mempunyai kuasa beli yang kukuh, tempoh penginapan lebih panjang, purata perbelanjaan lebih tinggi serta kecenderungan melancong bersama keluarga.

Justeru, penambahan penerbangan terus dilihat penting untuk merancakkan semula pertumbuhan pasaran berkenaan, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim dan mesra keluarga.

Pelancong Arab Saudi juga bakal memperoleh akses lebih mudah kepada pelbagai tarikan negara, termasuk khazanah alam semula jadi, warisan budaya, pusat beli-belah mewah, gastronomi dan pusat peranginan kesihatan.

Pembukaan laluan itu turut berlangsung ketika Tourism Malaysia mempergiat kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi tema “Surreal Experiences”.

Perkhidmatan baharu berkenaan dijangka menyokong usaha memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa, menarik pelancong bernilai tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat