KUALA LUMPUR – Pada 20 dan 21 Julai lalu bertempat di sebuah hotel di ibu negara telah berlangsungnya persidanga International Regulatory Conference (IRC) 2026.
Persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) ini membawa tema ‘Membentuk Era Digital Seterusnya: Kawal Selia, Daya Tahan dan Kepercayaan.
Ia menarik kira-kira lebih 500 orang peserta dari kumpulan pengawal selia, pembuat dasar, peneraju industri, pakar teknologi dan ahli akademik dari dalam dan luar negara membincangkan perkara tentang pengurusan kawal selia digital dan komunikasi.
Pasti para peserta masih teringat dengan sebuah robot yang berdiri tegak setia menunggu di pintu dewan persidangan yang tugasnya memberitahu peserta di mana tempat duduk mereka dan robot itu akan mengiringi mereka masuk dewan.
IRC2026 dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil yang turut diiringi oleh robot humanoid berkenaan.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran IRC2026 adalah sangat tepat pada masanya memandangkan Malaysia kini sedang melalui fasa kritikal peralihan daripada rangkaian tunggal borong kepada model dua rangkaian bagi perkhidmatan 5G.
Beliau menggariskan tentang komitmen kerajaan dalam memastikan kawal selia yang dinamik tanpa mengekang pertumbuhan ekonomi digital.
Ekosistem Digital Yang Selamat Perlu Ada Akauntabiliti
Pada sesi terdahulu iaitu ucaptama IRC2026, Ahli Komisioner MCMC Derek John Fernandez menekankan tentang kepentingan ekosistem digital yang selamat dan mempunyai akauntabiliti.
Dalam era teknologi masa hadapan, seperti Kecerdasan Buatan (AI), kawal selia memerlukan satu kerangka etika yang kuat supaya integriti data awam terus terpelihara.
Kebetulan, pada masa itu Malaysia sedang viral dengan kes data seorang pempengaruh terkenal Khairul Aming terpaksa berdepan dengan kes kebocoran maklumat data peribadi.
Dalam sidang media, Datuk Seri Fahmi berkata soal kawal selia dan pemeliharaan data adalah antara elemen terpenting dalam era digital untuk wujud satu mekanisme tepat supaya kes sama tidak berulang lagi.
Melihat pada beberapa sesi dialog daripada 10 keseluruhan yang diadakan rata-rata perbincangan berkisar tentang bagaimana rupa pengurusan data, kawal selia digital serta ekosistemnya mengikut peredaran mas teknologi yang begitu pantas.
Syarikat Besar Tidak Boleh Lepas Tangan Soal Lindungi Kanak-Kanak
Sesi dialog pertama yang bertajuk “Keselamatan Dalam Talian Melalui Reka Bentuk” yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Urusan Pembangunan MCMC Eneng Faridah Iskandar, ia memberi fokus kepada kebertanggungjawaban platform penstriman media sosial untuk melindungi golongan penting terutamanya kanak-kanak.
Sesi ini menampilkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki dan Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Saskia Blume.
Kesemua mereka sebulat suara menyatakan bahawa syarikat gergasi telekomunikasi dan teknologi tidak boleh lagi ambil sikap lepas tangan.
Ciri-ciri keselamatan perlulah diterapkan sejak dari peringkat awal pembangunan algoritma sistem lagi bukan sekadar penambahbaikan selepas berlaku kes eksploitasi dalam talian.
Sesi seterusnya yang bertajuk “Kebebasan Data Memperkasa Rakyat” pula banyak membincangkan tentang tanggungjawab gergasi komunikasi, digital dan platform e-dagang dalam memelihara data peribadi pelanggan yang mereka ada.
Kebebasana Data Dan Hak Privasi Orang Awam Perlu Dipelihara Elak Kebocoran
Ketua Pegawai Pengurusan AI Cloud dan Data Kebangsaan MCMC Che Juhan Che Mat sebagai moderator membawa perbincangan untuk menumpukan pada hal kebebasan data dan hak privasi rakyat di tengah kepesatan teknologi AI serta pengkomputeran kuantum.
Seorang daripada panelis iaitu Ketua Bahagian Keselamatan Ericsson, Dr Connie Mcintosh memberi pandangan ketelusan ialah satu perkara penting yang perlu diamalkan oleh syarikat besar yang memiliki data peribadi pelanggan.
“Orang ramai akan dapat memahami apabila mereka klik kotak bersetuju untuk berkongsi data dengan syarikat berkenaan, mereka akan mengetahui apa yang akan berlaku dengan data mereka selepas itu serta ke mana ia akan dikongsikan jika ada ketelusan.
“Pelanggan juga akan dapat mengetahui bagaimana data berkenaan akan disimpan dan juga apa akan berlaku serta siapa akan bertanggungjawab jika berlaku ketirisan data,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang berkaitan kebocoran data dan mengenakan bayaran denda dengan jumlah yang besar untuk mengawal selia pengurusan dan mengelaknya dari bocor.
Malaysia Tidak Ketinggalan Dalam Perlumbaan Teknologi Komputer Kuantum
Sesi dialog ke-5 dengan bertajuk “Teknologi Kuantum dan Seni Bina serta Inovasi Komunikasi, Satu Pendekatan Progresif” turut menarik minat peserta yang tidak meninggalkan dewan sepanjang ia berlangsung.
Ia membincangkan tentang teknologi komputer kuantum yang masih lagi belum jadi kenyataan di mana-mana pun di dunia kerana ia adalah sejenis komputer paling berkuasa yang tidak menggunakan teknologi seperti komputer sedia ada.
Seorang panelis sesi ini iaitu Profesor Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Malaya, Prof Dr Raymond Ooi berkata kebanyakan negara di dunia sekarang ini sedang berlumba melakukan penyelidikan untuk mencipta teknologi komputer kuantum melalui pelbagai kaedah.
Malaysia pada masa ini sudah menjalankan pelbagai penyelidikan teknologi kuantum antaranya di Universiti Malaya yang menjalankan penyelidikan berkaitan sains kuantum dan laser, katanya.
“Penyelidikan itu bermula pada tahun 2011, pada tahun 2020 kami mendapat sokongan kerajaan melalui geran yang berjumlah besar daripada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membangunkan komunikasi menggunakan teknologi kuantum.
Amerika Syarikat dan China Dahului Saingan Penyelidikan Inovasi Komputer Kuantum
“Kita telah menjalankan penyelidikan secara teori dan eksperimen dalam komunikasi dengan teknologi kuantum,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini Amerika Syarikat (AS) Dan China sedang mendahului dalam perlumbaan penyelidikan berkaitan komputer kuantum.
Merujuk kepada negara China dan Amerika, kedua-dua negara berkenaan menggunakan strategi berkaitan inovasi yang sangat agresif.
“Di Amerika, syarikat seperti IBM dan Google memiliki sasaran penyelidikan yang besar untuk membangunkan kuantum komputer,” katanya.
Dr Raymond berkata ada juga beberapa syarikat di Eropah dan United Kingdom sedang dalam usaha untuk membangunkan teknologi kuantum.
“Kejayaan membangunkan teknologi kuantum bukanlah satu cita-cita yang kecil sebaliknya ia adalah satu cita-cita besar untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sesi dialog yang menarik juga untuk diberikan perhatian ialah berkaitan robotik.
Teknologi Robotik Bakal Ubah Landskap Kehidupan Manusia Masa Depan
Membawa tajuk “Mengawal Selia Revolusi Robotik: Satu Keperluan Merentas Sektor”, ia menampilkan Pensyarah Kanan, Jabatan Kecerdasan Buatan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM), Dr Zati Hakim Azizul Hassan.
Bagi beliau teknologi robotik ialah satu kemajuan melibatkan digital dan AI yang akan bergerak lebih jauh dan laju pada masa akan datang.
Malaysia tidak boleh ketinggalan dan perlu lebih ramai golongan muda yang mahu menceburkan diri dalam bidang robotik.
berkata ada kumpulan yang ramai yang meminati teknologi robotik tetapi tiada pendedahan yang cukup.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi ada beberapa dasar melibatkan pengajian tinggi dan satu daripada dasarnya ialah Bakat Robotik Kecerdasan Buatan (AI).
“Memandangkan pelajar di UM sudah pun ada banyak pendedahan berkaitan robotik saya mengambil inisiatif membawa teknologi robotik ke kawasan atau kumpulan penduduk yang kurang pendedahan untuk menarik minat mereka.
“Disebabkan dasar negara, saya bawa ilmu robotik ini kepada masyarakat dengan membawanya ke kawasan PPR melalui program KtoK (Kita to Kita), kita (UM) pergi ke kawasan PPR dan bertemu dengan remaja yang sedikit ketinggalan dalam pelajaran dan mereka ada minat,” katanya.
Selepas usai IRC2026, pendekatan kawal selia pada masa depan dilihat mestilah bersifat anjal, eksperimental dan merentas sempadan melalui kaedah kerjasama antarabangsa.
Malaysia mampu mengimbangi antara memacu inovasi teknologi yang pesat dengan mengekalkan perlindungan serta kepercayaan pengguna.
IRC2026 tidak boleh berakhir sekadar sebagai pentas perbincangan atas kertas semata-mata.
Apabila teknologi seperti AI dan robotik berkembang setiap bulan, kaedah Kawal Selia Eksperimental adalah pendekatan paling sesuai untuk uji teknologi baharu dalam persekitaran terkawal, belajar dan kemudian gubal polisi berkaitan teknologi tersebut.
IRC2026 melabuhkan tirainya pada 21 Julai lalu.



