Oleh Zihan Zari
IPOH – Kecemerlangan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) terus diperkukuhkan apabila hasil Projek Tahun Akhir (Final Year Project, FYP) mereka menerima pengiktirafan pada Engineering & Technology Innovation Symposium 2026 (ETIS’26) yang telah berlangsung di PUO dekat sini, baru-baru ini.
ETIS ’26 anjuran Centre for Graduate Studies (CGS), PUO menjadi platform tahunan bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi pelajar itu mengiktiraf projek-projek terbaik berdasarkan aspek inovasi, impak, kebolehgunaan serta potensi aplikasi dalam industri.
Anugerah Best Project Champion telah dimenangi oleh Muhammad Thalha Hamdan, pelajar Bachelor of Civil Engineering Technology (BCT) menerusi projek bertajuk ‘Development of a Machine Learning Based System for On-Site Image Quality Inspection for Concrete Work’ di bawah penyeliaan Ir. Ts. Dr. Rufaizal Che Mamat.
Manakala, Raihana Salahuddin, pelajar Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Supply Chain Management) (BMS), telah dinobatkan sebagai Pemenang Projek Terbaik (BMS) menerusi projek bertajuk ‘Optimizing the Demagnetization Process of Chip Components to Enhance Productivity’ di bawah penyeliaan Azmarini Ahmad Nazri.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri, bersama Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Hj. Fakrul Razi Jamaluddin.
Turut hadir, barisan pengurusan, pensyarah, penyelia projek dan pelajar, sekali gus mencerminkan komitmen PUO dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik sebagai pemacu aspirasi institusi ke arah Politeknik APEX.
Norman berkata, ETIS merupakan platform penting dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi serta mencungkil bakat pelajar menghasilkan penyelesaian teknologi yang relevan dengan keperluan industri.
“Tahniah kepada semua pemenang dan pensyarah penyelia atas komitmen serta dedikasi yang telah dicurahkan. Kejayaan ini membuktikan pelajar PUO bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah berupaya menghasilkan inovasi yang mampu memberi nilai tambah kepada industri, ”katanya.
Katanya lagi, pencapaian ini turut menyokong aspirasi PUO ke arah menjadi Politeknik APEX, dengan memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan akademik dalam melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten, berdaya saing serta bersedia menerajui transformasi teknologi dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“PUO akan terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui kerjasama strategik bersama industri serta memperkasakan pembelajaran berasaskan penyelidikan bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, ”ujarnya.
ETIS’26 bertemakan ‘Inspiring Innovation, Connecting Industry, Shaping Future Technologists’ menjadi platform tahunan yang menghimpunkan hasil FYP pelajar bagi mengetengahkan idea baharu, memperkukuh budaya penyelidikan serta menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri.
Kejayaan yang dicapai diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar PUO untuk terus berinovasi, menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan mengharumkan nama institusi di peringkat nasional serta antarabangsa.-SUARA.TV



