SEREMBAN, – Pemerintah Bersama yang terdiri daripada Undang Johol, Undang Jelebu, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong mendakwa Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang diadakan pada 31 Julai lalu tidak sah di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta menghina Perintah Mahkamah Tinggi.
Dalam kenyataan rasmi bersama Undang Johol dan Undang Jelebu yang turut disertai Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, mereka mendakwa semua keputusan yang diumumkan menerusi Perutusan Rasmi DKU bertarikh 1 Ogos 2026 adalah tidak mempunyai kesan undang-undang kerana mesyuarat tersebut dijalankan bertentangan dengan Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sebelum itu, DKU menerusi Perutusan Rasmi memaklumkan Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 31 Julai telah dihadiri oleh Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Seri Menanti, yang menurut DKU memenuhi syarat kuorum sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam mesyuarat tersebut, DKU memutuskan untuk menerima pengiktirafan Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan Datuk Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau selepas Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun lalu.
DKU turut mengambil maklum bahawa jawatan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong dikosongkan selepas penyandangnya dilucutkan mengikut adat berkuat kuasa 30 Julai 2026 sementara proses pelantikan penyandang baharu masih belum selesai.
Bagi Luak Jelebu pula, DKU memaklumkan bahawa selepas mendengar aduan daripada wakil Ibu Soko, waris dan anak buah daripada tiga Perut Kemin Teriang, Kemin Beringin dan Kemin Bemban, badan itu menerima keputusan adat untuk memecat Datuk Haji Ma’ruf Mat Rashad sebagai Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Menurut perutusan itu, jawatan Undang Luak Jelebu dengan sendirinya menjadi kosong dan semua tindakan yang dibuat oleh Datuk Haji Ma’ruf selepas tarikh tersebut dianggap tidak sah. DKU turut menyatakan Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) yang digunakan beliau semasa menyandang jawatan itu turut gugur.
Selain itu, DKU turut mengisytiharkan bahawa satu dokumen bertarikh 19 April 2026 adalah tidak berperlembagaan serta tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang.
DKU juga memutuskan bahawa Haji Mubarak Thahak, Haji Abdul Rahim Haji Yasin dan Haji Ma’ruf Mat Rashad masing-masing telah terhenti atau tidak pernah memegang jawatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu secara sah mengikut adat, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan fungsi di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pertikai kuorum mesyuarat
Bagaimanapun, Undang Yang Empat menolak keseluruhan keputusan tersebut dengan mendakwa Mesyuarat Khas DKU sendiri tidak memenuhi syarat kuorum.
Menurut mereka, berdasarkan senarai kehadiran rasmi yang dikeluarkan DKU, mesyuarat itu hanya dihadiri oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Besar Seri Menanti, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau.
Pada masa sama, empat lagi anggota DKU iaitu Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong tidak menghadiri mesyuarat berkenaan.
Mereka berhujah bahawa Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dengan jelas memperuntukkan sesuatu rundingan Dewan tidak boleh dijalankan, kecuali bagi tujuan menangguhkan mesyuarat, sekiranya bilangan ahli yang hadir selain pengerusi tidak mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah keseluruhan ahli.
Menurut tafsiran mereka, hanya tiga ahli selain pengerusi menghadiri mesyuarat tersebut sedangkan sekurang-kurangnya empat ahli diperlukan bagi membentuk kuorum yang sah.
Atas alasan itu, mereka mendakwa semua keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Khas DKU pada 31 Julai adalah tidak sah dan terbatal.
Dakwa langgar perintah Mahkamah Tinggi
Dalam kenyataan sama, Undang Yang Empat turut mendakwa Mesyuarat Khas DKU itu diadakan walaupun wujud Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang berkaitan dengan keanggotaan dan perjalanan Dewan Keadilan dan Undang.
Mereka mendakwa tindakan meneruskan mesyuarat dalam keadaan sedemikian merupakan suatu penghinaan terhadap Perintah Mahkamah Tinggi.
Menurut kenyataan itu lagi, Mesyuarat DKU pada 5 Jun 2026 sebelum ini telah mengekalkan kedudukan dan status Undang Yang Empat seperti sedia kala.
Sehubungan itu, mereka menyifatkan Perutusan Rasmi DKU bertarikh 1 Ogos mengandungi maklumat yang mengelirukan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.
Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong turut memaklumkan bahawa mereka akan merezabkan hak untuk mencabar Perutusan Rasmi DKU tersebut melalui tindakan undang-undang.
Mereka turut menyeru Kerajaan Negeri Sembilan supaya tidak menguatkuasakan sebarang keputusan yang dibuat hasil Mesyuarat Khas DKU berkenaan sehingga pertikaian itu diputuskan oleh mahkamah.
Kemelut tersebut merupakan episod terbaharu dalam krisis institusi Undang di Negeri Sembilan yang sejak beberapa bulan lalu menyaksikan pertikaian berhubung kesahan pelantikan beberapa Undang, keanggotaan Dewan Keadilan dan Undang serta beberapa prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban. Kedua-dua pihak kini kekal mempertahankan tafsiran masing-masing terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, manakala kesahihan keputusan Mesyuarat Khas DKU dijangka terus menjadi subjek tindakan perundangan.



