RCI dedah aset pemilik Al-Rawda dibeku Mahkamah Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mendedahkan aset milik pemilik syarikat Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd. di Arab Saudi telah dibekukan oleh Mahkamah Penguatkuasaan negara itu dalam usaha mendapatkan semula tunggakan bayaran yang melibatkan pelaburan Tabung Haji.

Menurut laporan RCI, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil selepas Al-Rawda gagal memenuhi obligasi pembayaran kepada Tabung Haji di bawah perjanjian pajakan dan pengurusan empat hotel di Makkah dan Madinah yang digunakan bagi menempatkan jemaah haji dan umrah Malaysia.

Laporan itu menjelaskan bahawa antara tahun 2015 hingga 2017, Tabung Haji memeterai beberapa perjanjian pajakan jangka panjang dengan Al-Rawda bagi empat hotel, iaitu Hotel Al-Aqiq, Al-Haram dan Al-Saha di Madinah serta Hotel Rawdat Al-Bait di Makkah.

Nilai keseluruhan perjanjian pajakan tersebut mencecah SR1.426 bilion, manakala Al-Rawda turut dilantik sebagai pengendali hotel menerusi Perjanjian Pengurusan dan Operasi yang melibatkan pendapatan sewaan berjumlah SR2.49 bilion.

Sebagai jaminan, syarikat itu mengeluarkan Promissory Note (PN) yang dijamin secara peribadi oleh pemiliknya, Dr Mashhoor Ali Omar Almadoodi.

Bagaimanapun, laporan RCI menyatakan bahawa sejak Mac 2019, Al-Rawda gagal membuat pembayaran sewa kepada Tabung Haji.

Sehingga 31 Disember 2021, tunggakan sewa dilaporkan telah meningkat kepada SR560.7 juta.

Susulan kegagalan itu, Tabung Haji memfailkan sembilan tindakan terhadap Al-Rawda sebagai penerbit nota janji melibatkan jumlah SR344 juta, selain tujuh tindakan terhadap Dr Mashhoor sebagai penjamin yang melibatkan SR255.1 juta.

Menurut laporan berkenaan, Mahkamah Penguatkuasaan Arab Saudi kemudian mengeluarkan perintah penguatkuasaan (enforcement order) terhadap kedua-dua pihak.

“Berikutan perintah tersebut, sekatan dan larangan telah dikenakan terhadap Al-Rawda daripada menjalankan perniagaannya, manakala aset-aset milik Dr Mashhoor di Arab Saudi dibekukan serta larangan perjalanan ke luar negara turut dikenakan terhadap beliau,” menurut laporan itu.

RCI menjelaskan tindakan penguatkuasaan tersebut membuka ruang kepada rundingan penyelesaian antara kedua-dua pihak.

Pada April 2021, Al-Rawda dan Tabung Haji bersetuju kepada satu pelan penyelesaian baharu bagi pembayaran baki sewa sebanyak SR1,748 juta mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui.

Namun, hanya beberapa bulan kemudian, Al-Rawda mengemukakan cadangan penyelesaian baharu yang jauh lebih rendah, iaitu SR968 juta.

Tabung Haji menolak tawaran tersebut dan pertikaian kemudiannya diteruskan melalui prosiding timbang tara apabila Al-Rawda mendakwa perjanjian asal bertentangan dengan syariah.

Pada masa sama, Tabung Haji meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap aset Dr Mashhoor termasuk proses melikuidasikan aset-aset beliau di Arab Saudi dan luar negara bagi mendapatkan semula bayaran tertunggak.

Menurut RCI, ketika laporan itu disediakan, proses timbang tara dan penguatkuasaan masih berjalan.

Laporan turut mendedahkan bahawa transaksi Al-Rawda memberi impak kewangan yang besar kepada Tabung Haji.

Sehingga penyata kewangan berakhir 31 Disember 2020, Tabung Haji merekodkan Estimated Credit Loss (ECL) sebanyak RM202.8 juta, selain penilaian awal Jabatan Kewangan menjangkakan tambahan rosot nilai sekitar RM184 juta bagi tahun kewangan berikutnya, tertakluk kepada penilaian lanjut.

RCI menyifatkan kes Al-Rawda sebagai antara pelaburan yang memerlukan audit forensik bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan tersebut dibuat sehingga akhirnya menyebabkan Tabung Haji berdepan kerugian besar dan proses litigasi rentas sempadan yang masih berlarutan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat